Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,778

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kebanyakan Laluan Lebuhraya Pan Borneo Guna Laluan Sedia Ada : Pairin

Lebuhraya-Pan-Borneo-1

KOTA KINABALU : Kebanyakan laluan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer bernilai RM12.8 bilion akan menggunakan laluan jalan raya sedia ada, walaupun beberapa laluan baharu diwujudkan.

Menyatakan demikian, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, “Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan bermula pada bulan Mac 2016, sebaik sahaja reka bentuk terperinci melibatkan tiga pakej awal siap pada penghujung tahun 2015.

“Tiga pakej ini melibatkan jarak jalan raya sejauh 23.5 kilometer,” kata beliau yang juga Menteri Infrastruktur Negeri.

Pairin berkata demikian semasa menggulung perbahasan Bajet 2016 Negeri Sabah bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri di sini malam ini.

Menurut beliau, tiga pakej awalan pembinaan projek berkenaan ialah Jalan Donggongon-Papar sejauh 11.7 kilometer, Jalan Tawau-Semporna (dari Km45 ke Km49.7) dan Jalan Lahad Datu Bypass (7.1Km).

Mengenai infrastruktur bekalan air bersih di Sabah, Pairin berkata projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3 dijangka dimulakan pada Mac tahun depan.

Manakala projek Loji Rawatan Air Kundasang bagi mengatasi masalah bekalan air bersih ekoran bencana gempa pada Jun lalu masih di peringkat kajian.

Menyentuh mengenai langkah meningkatkan taraf perkhidmatan keretapi di negeri Sabah, Pairin berkata sebuah lokomotif atau Diesel Multiple Unit dengan kos RM8 juta dalam proses pembuatan.

Ia dijangka akan diperolehi pada penghujung tahun 2016 dan kemudahan ini akan menyediakan perkhidmatan lebih baik bagi laluan sektor Beaufort-Tenom.

Di Rancangan Malaysia Kesebelas pula, Jabatan Keretapi Negeri Sabah akan memperoleh tiga set lokomotif baharu serta 40 unit pelbagai gerabak barangan.

Mengenai Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3-Empangan Kaiduan, Pairin berkata ia adalah projek bekalan air jangka panjang sehingga tahun 2050 dengan kapasiti 1,000 juta liter sehari.

Katanya kapasiti bekalan air sedia ada tidak cukup sehingga 2022 dan sehubungan itu projek berkenaan amat penting untuk dilaksanakan bagi memenuhi keperluan air daerah Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Tuaran dalam tempoh masa panjang.

Pairin menafikan projek itu akan mencerobohi Taman Banjaran Crocker dan tidak akan menenggelamkan Kg Buayan sebaliknya hanya melibatkan tiga kampung iaitu Kg Timpayasa, Kg Tiku dan Kg Babagon Laut.
— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan