Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kebakaran Belukar Dan Hutan Di Keningau Sudah Terkawal

5:49pm 17/03/2016 Pak Roshan 71 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Pemandangan dari udara kebakaran besar hutan yang berlaku di daerah Papar hari ini, berikutan cuaca kemarau panjang berlaku di Sabah. - Foto BERNAMA

Pemandangan dari udara kebakaran besar hutan yang berlaku di daerah Papar hari ini, berikutan cuaca kemarau panjang berlaku di Sabah. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU – “Kes kebakaran melibatkan belukar dan hutan di daerah Keningau ekoran cuaca kering pada masa ini secara keseluruhannya sudah terkawal,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan kebun atau melupuskan sisa pokok yang telah ditebang bagi mengelak kes kebakaran belukar dan hutan.

“Dikhuatiri cetusan api akan cepat merebak dan tidak dapat dikawal. Diingatkan bahawa cetusan api kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti manusia.

“Cuaca kering membantu ia merebak,” kata Nordin kepada media melalui aplikasi WhatsApp.

Hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah membuat pemantauan udara menggunakan helikopter, termasuk di daerah Keningau dan Papar, bagi meninjau situasi kebakaran belukar dan hutan di kawasan berkenaan.

Menurutnya melalui pemantauan udara berkenaan, ia dapat mengesan secara fizikal lokasi sebenar kebakaran berbanding penggunaan imej satelit sebelum ini.

Katanya pemantauan udara juga dapat mengenal pasti jenis tanaman yang terlibat (dalam kebakaran) dan bentuk aktiviti manusia di kawasan terbabit.

“Semua maklumat pemantauan udara berguna untuk strategi dan langkah kawalan serta pemilihan kaedah pemadaman,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata operasi memadamkan kebakaran belukar dan hutan menggunakan kaedah ‘bambi bucket’ dengan helikopter perlu diatur dengan teliti bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya selain kaedah itu melibatkan kos dan memerlukan sumber air yang sesuai untuk mengaut air, kaedah berkenaan juga hanya berkesan bagi kebakaran hutan yang merebak di puncak pokok dan kurang sesuai bagi kebakaran di tanah gambut kerana punca api seperti ini adalah di dalam tanah gambut.

Nordin juga menasihatkan anggotanya agar terus bersabar dan tabah melaksanakan tugas dalam menangani kes kebakaran kecil atau besar.

“Ada pasukan dari balai bomba tertentu yang tidak sempat balik ke balai kerana terpaksa ke lokasi kebakaran lain ekoran kejadian kebakaran yang bersambung-sambung. Sekiranya semua jentera bomba telah berada di lokasi, kehadiran bomba terpaksa mengikut giliran. Kita berharap masyarakat dapat bersabar,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan