Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KEBAJIKAN RAKYAT TETAP DIUTAMAKAN

musa

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, amat mengalu-alukan peranan dan tanggungjawab badan korporat terutama melibatkan agensi kerajaan yang prihatin menghulurkan bantuan setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Menurut beliau, keikhlasan agensi yang berkaitan wajar menjadi contoh kerana beban golongan yang kurang kemampuan dapat dikurangkan walaupun bantuan seadanya tetapi memberikan pengertian yang cukup mendalam kepada mereka.

Beliau berkata, inilah bukti kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat apatah lagi sumbangan yang dihulurkan disampaikan secara bersama dalam satu-satu majlis penyampaian.

Katanya, secara tidak langsung juga menceriakan mereka dalam menyambut bulan penuh keberkatan kerana keprihatinan pihak kerajaan yang terus tampil membantu semata-mata untuk meringankan bebanan golongan tersebut.

“Pihak kerajaan negeri menyambut baik usaha dan penyertaan syarikat badan korporat yang sentiasa prihatin membantu masyarakat apabila tibanya bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

“Keprihatinan badan korporat itu, jelas menunjukkan kerjasama yang begitu kukuh antara kerajaan dengan agensi yang terlibat. Ini telah memberikan kesempatan kepada kita untuk berjumpa dan berbuka puasa dengan rakyat sambil menghulurkan bantuan.

“Malahan, inisiatif seumpama ini juga telah mendekatkan mereka dengan masyarakat setempat terutama segala penjelasan berhubung dasar dan agenda kerajaan dapat disampaikan terus ke akar umbi.

“Ini merupakan satu usaha yang terpuji dan saya amat mengalu-alukan penyertaan pihak Jabatan Kastam memandangkan program sebegini menjadi landasan terbaik bagi mengukuhkan silaturahim antara warga jabatan berkenaan dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Musa berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna, Kampung Batu Putih Baru, dekat sini, pada Sabtu.

Majlis anjuran oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sandakan itu menyaksikan kira-kira 800 orang penerima yang terdiri dari golongan fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, balu, anak-anak yatim dan OKU menerima sumbangan Ramadan.

Pada majlis itu, Ketua Menteri telah berbuka puasa dengan penduduk sekitar seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah bersama penduduk di Masjid Nur Islam.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dato’ Dr. Haji Janatan Kandok; Pengarah JASA Sabah, Haji Abdul Manap Lakariba dan Ketua Umno Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir.James Wong; Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin; mantan Adun Karamunting, Datuk Peter Pang En Yin; Ketua Pemuda Umno Libaran, Rizan Aziz serta Ketua Puteri Umno Libaran, Karmi Ariffin.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri ini berharap keikhlasan agensi kerajaan seperti Kastam wajar menjadi contoh kerana manfaatnya rakyat jelata terutama golongan yang memerlukan pembelaan dapat dibantu.

Ini katanya, apa lagi bantuan yang dihulurkan ketika bulan puasa yang sudah pasti memberikan ganjaran pahala besar sekali gus menjalinkan ukhuwah yang lebih erat antara agensi kerajaan dengan masyarakat.

Bahkan, ujarnya lagi, sudah menjadi tradisi kepada kerajaan hari ini yang sentiasa turun padang bagi membolehkan keperluan rakyat dapat dibantu lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Terdahulu dari itu, Janatan semasa berucap berkata kehadiran Ketua Menteri amat bermakna buat kami warga Jabatan Kastam kerana selain menyerikan lagi majlis ini ianya juga membuktikan wujudnya hubungan yang baik dan mesra di antara rakyat dan pemimpin tertinggi Negeri Sabah.

Katanya, pihak jabatan telah menjadikan majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa ini sebagai salah satu program tahunannya yang tetap dan saban tahun di bulan Ramadan yang dibuat di kawasan perkampungan atau taman.

“Tanggungjawab ini adalah sebagai satu tanggungjawab sosial bagi merealisasikan matlamat pihak kerajaan. Pada tahun ini, jabatan telah memilih Kampung Batu Putih sebagai lokasi untuk kita menganjurkan program pada petang ini yang mana sebelum ini acara sama telah dibuat di Kg Kenangan Manis; Kg Sibugal Besar di Batu 10; Kg Sungai Kayu; Kg Tinusa; Taman Rajawali dan Taman Merpati.

“Ia diadakan untuk dua tujuan pertamanya penganjur berhajat menyampaikan sedikit bantuan dan sumbangan kepada golongan kurang kemampuan yang mana diharap dengan bantuan serta sumbangan itu pada bulan Ramadan seterusnya Syawal yang menjelang akan menjadi lebih bermakna kepada mereka sekali gus dapat disambut dalam suasana yang lebih ceria.

“Tujuan kedua pula sebagai satu usaha merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara warga kastam dengan para pemimpin kerajaan negeri dan agensi kerajaan yang lain dan penduduk setempat,” beritahunya.

Sementara itu, Ketua Menteri turut menyampaikan bantuan Ramadan dalam satu lagi acara yang berasingan pagi kelmarin iaitu di Dewan SK Sibugal Besar, Batu 10, Jalan Sungai Batang, dekat sini.

Seramai 822 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, balu, anak-anak yatim dan OKU telah menerima bantuan bagi meringankan beban dalam menyambut bulan puasa.

Para penerima datang dari Kg Nelayan Tengah; Kg Pampang; Kg Sentosa Sungai Manila; Kg Pengkalan Sungai Manila dan Kg Sungai Batang.

Dalam ucapannya, Musa yang juga selaku Ketua Umno Libaran menegaskan parti itu akan tetap memastikan apa jua keperluan rakyat dapat diberikan perhatian kerana amalan murni ini sudah menjadi amalan yang berterusan.

Jelasnya, kepimpinan parti tidak bermusim seperti mana sesetengah pihak sebaliknya sentiasa turun padang bagi mendengar keluhan dan denyutan nadi rakyat agar permasalahan yang ada dapat diatasi.

“Kita tidak bermusim macam sesetengah pihak malahan tanggungjawab ini dijalankan sepanjang masa tanpa menunggu sesuatu pilihan raya.

“Ini kerana, kita tahu peranan agar setiap permasalahan akar umbi dikenal pasti. Kita mahu rakyat mendapat manfaat hasil daripada pembangunan kerajaan BN sekarang,” ujarnya

Komen


Berita Berkaitan