Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KDN TUMPU KEPERLUAN POLIS SELURUH NEGARA

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika meninjau tapak projek pembinaan IPD Kota Kinabalu yang baharu di Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan melakukan lawatan ke semua balai polis di seluruh negara secara berperingkat untuk mengenal pasti keperluan pasukan keselamatan di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, lawatan itu akan menumpukan penambahbaikan keperluan logistik, infrastruktur dan kebajikan anggota dan pegawai polis bertugas.

Menurut Azis, maklumat daripada setiap lawatan akan dikaji secara menyeluruh sebelum sebarang peruntukan disalurkan oleh kementeriannya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman menerima cenderahati daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika mengadakan lawatan kerja di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kementerian perlu turun bawah untuk melihat sendiri keperluan anggota keselamatan supaya kita dapat memperjuangkan keperluan mereka termasuk menyediakan peruntukan bersesuaian.

“Antara keperluan yang akan kita lihat ialah aspek pembangunan seperti baik pulih balai polis, kuarters dan beberapa isu logistik yang melibatkan pengangkutan serta penambahan anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir di Taklimat bersama warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keperluan pasukan keselamatan di Sabah, Azis berkata, terdapat dua projek pembinaan balai baharu di negeri ini yang sedang berlangsung.

Katanya, pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang baharu di Kepayan dijangka siap lebih awal dengan dua peratus mendahului jadual asal manakala tender melibatkan projek pembangunan Polis Gerakan Am (PGA) di Beluran telah pun dibuka.

Tambahnya, balai polis di Pulau Bum Bum, Semporna juga sedang dinaiktaraf. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan