Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KD Mutiara sertai misi cari MH370

kd mutiara

LUMUT – Kapal Hidrografi KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meneruskan misi mencari dan mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi bagi tempoh empat bulan.

Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata penugasan KD Mutiara akan diselaraskan oleh Military Coordination Sub Surface yang berpejabat di Perth, apabila aset negara itu jadual tiba di Lautan Hindi pada 18 Ogos.

“KD Mutiara merupakan kapal hidrografi yang berupaya mengukur batimetri sehingga 11,000 meter untuk menentukan kedalaman sesuatu perairan dengan menggunakan ‘singlebeam echosounder’ dan satu lagi sistem iaitu ‘multibeam echosounder’ mampu ukur sehingga 7,000 meter dengan tepat,” katanya.

Mohamad Roslan bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan KD Mutiara menyertai misi itu di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Beliau berkata KD Mutiara berlepas menyertai misi itu dengan kekuatan 19 pegawai dan 118 anggota lain-lain pangkat termasuk seorang doktor daripada Kor Kesihatan serta seorang pegawai agama daripada Kor Agama.

Mohamad Roslan berkata KD Mutiara dan kesemua anak kapal menjalani latihan intensif selama sebulan selepas dua tahun kapal itu melalui proses penyelenggaraan.

“TLDM melaksanakan latihan yang giat selama sebulan dengan kapal ini sebelum menghantarnya untuk menyertai misi mencari MH370. Bukan hanya kapal malah kru dan juga aspek peralatan. Kapal berada di tahap siap siaga yang tinggi,” katanya.

Mohamad Roslan berkata KD Mutiara akan mendapat arahan daripada Military Coordination Sub Surface di Perth mengenai sektor yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Setakat ini difahamkan 50 peratus sektor di Lautan Hindi telah dibuat carian pesawat MH370 dan bakinya akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata KD Mutiara akan tiba di Tanjung Periuk, Jakarta untuk mengisi minyak dan bekalan pada 9 Ogos sebelum berlepas ke Lautan Hindi pada 12 Ogos.

KD Mutiara yang memiliki sistem serta peralatan moden dan terkini itu akan menyertai sebuah lagi kapal tambahan TLDM iaitu KD Bunga Mas 6 yang telah berada di Australia bersama dua kapal dari China dan sebuah dari Australia, katanya.

Kapal bersaiz 71 meter panjang dan 12.4 meter lebar dengan kelajuan 16 knots serta berupaya beroperasi di laut sehingga 21 hari tanpa ulang bekal itu adalah daripada skuadron hidrografi milik TLDM dibina di Limbungan Hong Leong Lurrsen, Butterworth, Pulau Pinang dan telah dilancarkan pada 7 Mac 1996.

Komen


Berita Berkaitan