Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KD LEKIU PERKUKUH HUBUNGAN DIPLOMASI MELALUI Eks RIMPAC

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob bergambar beramai bersama pegawai dan anak kapal KD Lekiu dari Skuadron Ke-23 unit flotila serangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas tiba di Jeti Operasi TLDM Markas Armada Timur di Sepanggar, Kota Kinabalu. KD Lekiu singgah di Kota Kinabalu sebelum balik ke Pangkalan Lumut, Perak selepas menjalani Eksesais Rimpac 2018 di Pearl Harbour, Hawaii, Amerika Syarikat bermula 27 Jun berakhir 3 Ogos lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Penyertaan Kapal Diraja (KD) Lekiu dari skuadron ke-23 Unit Flotila Serangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Eks Rim of the Pacific (RIMPAC) 2018 di Hawaii mampu mengukuhkan hubungan diplomasi pertahanan antara tentara laut dan juga negara-negara yang terlibat.

Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, dengan kejayaan KD Lekiu itu juga dilihat setidak-tidaknya mengharumkan nama TLDM dan nama negara di persada antarabangsa.

“KD Lekiu merupakan kapal TLDM yang pertama mengikuti Eks RIMPAC yang dikoordinasikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan berlangsung di sekitar perairan kepulauan Hawaii.

“Latihan maritim terbesar di dunia siri ke-26 ini dijalankan sejak 27 Jun dan tamat pada 3 Ogos yang mana sebanyak 25 buah negara terlibat, 47 buah kapal perang termasuk lima kapal selam, 18 buah angkatan tentera darat, 29 buah pesawat peronda maritim, 200 buah pesawat pejuang serta helikopter yang mana telah dijayakan seramai kira-kira 25,000 anggota tentera.

Kapal Diraja (KD) Lekiu dari Skuadron Ke-23 unit flotila serangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba di Jeti Operasi TLDM Markas Armada Timur di Sepanggar, Kota Kinabalu. KD Lekiu singgah di Kota Kinabalu sebelum balik ke Pangkalan Lumut, Perak selepas menjalani Eksesais Rimpac 2018 di Pearl Harbour, Hawaii, Amerika Syarikat bermula 27 Jun berakhir 3 Ogos lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Apabila kita menghantar aset kita pada jarak yang jauh ini, banyak aspek logistik yang perlu kita perhatikan dan kita yakin keupayaan KD Lekiu mampu mengukuhkan hubungan diplomasi pertahanan di antara tentera laut yang menyertai Eks RIMPAC 2018,” katanya.

Leftenan Madya Chan Jun Kwan yang menjuarai Pertandingan Inovasi RIMPAC 2018 di Hawaii ketika singgah di Kota Kinabalu sebelum balik ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menyambut (KD) Lekiu merapat tiba di jeti operasi TLDM Markas Armada Timur di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, pelayaran KD Lekiu membawa seramai 145 krew ke RIMPAC 18 berkenaan dari Lumut ke Hawaii memakan masa sebulan bermula 25 Mei sehingga 26 Jun.

Jelasnya, sepanjang KD Lekiu telah berlabuh di TPKK, Cebu City, Kwajalein Atoll seterusnya tiba di Honolulu.

“Eks RIMPAC 18 ini menguji kesiapsiagaan kapal serta krew KD Lekiu apabila belayar untuk latihan fasa laut selama 22 hari tanpa ulang bekal di pelabuhan malahan hanya melaksanakan pengisian minyak di laut (RAS Refueling) sebanyak 6 kali bersama USNS Henry J.Kaiser dan HMAS Success.

“Pelayaran latihan fasa laut selama 22 hari ini telah melepasi standard pengoperasian yang ditetapkan bagi Lekiu Class Frigate iaitu 21 hari dan ini jelas membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika seluruh warga kapal memberikan komitmen dan kerjasama yang tinggi.

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob (kiri) bersalaman dengan Pegawai Memerintah KD Lekiu, Leftenan Komander Suhaimi Jumahat sebaik tiba di Jeti Operasi TLDM Markas Armada Timur di Sepanggar, Kota Kinabalu. KD Lekiu singgah di Kota Kinabalu sebelum balik ke Pangkalan Lumut, Perak selepas menjalani Eksesais Rimpac 2018 di Pearl Harbour, Hawaii, Amerika Syarikat bermula 27 Jun berakhir 3 Ogos lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya percaya latihan ini memberikan pengalaman dan peluang kepada semua warga KD Lekiu untuk mempelajari ilmu pengetahuan, prosedur dan bagaimana tentera laut asing melaksanakan latihan,” jelasnya.

Tambahnya, perjalanan sejauh 6,563 Batu Nautika itu sudah pasti memberikan peluang kepada warga KD Lekiu berinteraksi dan mempelajari budaya tentera laut asing. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan