Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KD Kelantan pertingkat keselamatan perairan Sabah

PANGLIMA Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Syed Zahairuddin Putra Syed Osman bersalaman dengan anggota KD Kelantan pada majlis Sambutan Perpindahan KD Kelantan ke Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Ihsan TLDM

 

KOTA KINABALU: Markas Pemerintahan Armada Timur menerima sebuah aset baharu, Kapal Diraja (KD) Kelantan dalam usaha memperhebat kawalan keselamatan perairan negeri ini.

Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, berkata kehadiran aset berkenaan membolehkan markas pemerintah itu kini memiliki empat kapal jenis peronda generasi baharu (PV), termasuk KD Perak, KD Kedah dan KD Selangor.

Katanya, KD Kelantan yang diterima dari Markas Pemerintahan Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut sebelum ini banyak terbabit dalam pelbagai eksesais, antaranya Angkasa Samudera (ANGSA), Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX), Taming Sari, Pangkor War dan eksesais bilateral, termasuk Malaysia-Singapura (MALAPURA).

“Selain itu, kapal ini sering dijadikan platform bagi acara rasmi dan lawatan delegasi kenamaan negara, selain pernah menerima anugerah kepujian Panglima Tentera Laut pada 2012,” katanya selepas Majlis Sambutan Perpindahan KD Kelantan ke Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Zulhelmy Ithnain; Panglima Logistik Timur, Laksamana Pertama Ir Ow Kiat Bin dan Pegawai Pemerintah KD Kelantan, Komander Manimaran Chellaiturai Arjunan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Zahiruddin berkata, pihaknya bakal menerima dua lagi kapal jenis sama iaitu KD Pahang dan KD Terengganu yang dijangka tiba pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

KD Kelantan bertolak daripada jeti Pangkalan TLDM Lumut di Perak pada 1 Jun lalu dan tiba di jeti operasi Markas Pemerintahan Armada Timur di sini jam 8.55 pagi tadi.

Susulan perpindahan itu, seramai 110 pegawai dan anggota yang berkhidmat di KD Kelantan bersama keluarga mereka turut berpindah dan menetap di Sabah. –¬†Oleh Mohd Nazllie Zainul/BH Online

Kapal Diraja (KD) Kelantan tiba di jeti operasi Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Foto Ihsan TLDM
Kapal Diraja (KD) Kelantan tiba di jeti operasi Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. – Foto Ihsan TLDM
Foto Ihsan TLDM

Komen


Berita Berkaitan