Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,737

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

KBS Jangka Lebih Ramai Atlet Lepasi Kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016

2:00pm 05/04/2016 Pak Roshan 11 views Mutakhir,Sukan
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyampaikan kata-kata aluan pada majlis menandatangani persefahaman untuk latihan belia antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) di Menara KBS hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyampaikan kata-kata aluan pada majlis menandatangani persefahaman untuk latihan belia antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) di Menara KBS hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjangkakan lebih ramai atlet negara akan melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini, 12 atlet layak secara merit melalui lima jenis sukan iaitu kapal layar, menembak, memanah, akuatik (terjun dan renang) dan berbasikal.

“Kita sedang mengenal pasti acara sukan yang masih di peringkat kelayakan sehingga Julai ini seperti badminton, memanah, renang, gimnastik, golf, olahraga dan angkat berat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) mengenai persiapan Malaysia dalam penyertaan Sukan Olimpik Rio 2016 dan pencapaian Program Podium bagi menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

Khairy berkata atlet yang layak ke sukan itu ialah Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri bagi acara terjun; Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal); Jonathan Wong (menembak); Welson Sin (renang); Khairul Anuar Mohamad (memanah) serta Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif (kapal layar).

Katanya Program Podium yang dilancarkan pada Februari lepas akan memastikan peningkatan bilangan atlet yang layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dengan sekurang-kurangnya 22 orang.

“Objektif program itu adalah untuk memastikan pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, kembalikan kedudukan 10 teratas pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia di Jakarta 2018 selain kedudukan 10 atlet kita dalam senarai enam teratas di dunia,” katanya.

Menurutnya, Program Podium akan menjadi penanda aras bertaraf dunia dalam memberi penekanan pengurusan latihan lebih profesional, khidmat sokongan lebih komprehensif, penjagaan hal ehwal kebajikan atlet lebih rapi serta beberapa trend dan inovasi terbaharu bagi atlet berpotensi selain usaha memperkasakan acara sukan lain.

Beliau berkata keberkesanan Program Podium akan dilihat semasa penyertaan atlet dalam tiga acara sukan berkenaan selain meningkatkan jumlah sasaran atlet yang layak menyertai sukan itu. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan