Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Katrina tekad terus bergiat dalam penulisan

Antara hasil karya penulisan Kathrina
Antara hasil karya penulisan Kathrina

KOTA KINABALU – Menghasilkan sebuah karya penulisan yang kreatif, memberi inspirasi dan menarik minat pembaca bukanlah sebuah kerja yang mudah seperti yang disangka oleh segelintir masyarakat.

Pastinya pelbagai cabaran dan rintangan bakal dilalui oleh seorang penulis terutamanya dalam mencanai minda bagi mengeluarkan idea-idea yang kreatif.

Penulis hendaklah bijaksana dalam menghasilkan sesebuah karya penulisan agar pesanan yang ditulis itu sampai kepada pembaca.

Namun setiap jerih payah seseorang penulis tidak akan sia-sia apabila karya mereka mampu menghambat hati dalam kalangan pembaca.

Kemunculan seorang penulis berbakat Kathirina @Susanna binti Tati atau lebih dikenali sebagai Kathrina Susanna Sitaim menyerikan lagi penulisan novel, puisi, dan cerpen di Sabah.

Minatnya dalam menulis esei sejak dari bangku sekolah pada sekitar tahun 70-an telah menjadi titik permulaan bagi Kathrina dalam bidang penulisan kereatif.

Esei yang dihasilkan oleh beliau itu dimasukkan ke majalah sekolah seterusnya menjadi penyuntik semangat kepada dirinya untuk terus mengorak langkah ke dunia penulisan.

Minatnya dalam membaca hasil karya penulisan orang lain serta menonton televisyen telah banyak membantu dirinya mendapat ilham untuk menulis.

Namun demikian, minat beliau dalam penulisan hampir terkubur apabila Kathrina menjejakkan kaki ke alam rumah tangga pada tahun 1978.

Komitmen dalam kerjaya ditambah dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada lima orang anak menjadikan beliau agak sibuk sehingganya memilih untuk tidak mengaktifkan diri dalam bidang penulisan lagi pada masa itu.

“Saya hanya menulis beberapa cerpen dan diterbitkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), itu pun cerpen yang pendek sahaja,” katanya kepada SayangSabah ketika dihubungi.

Menurutnya, minat dalam menulis masih kental namun disebabkan kekangan masa, maka hal itu mengurangkan kegiatannya untuk menulis.

Walaupun keadaan seolah-olah menutup peluang bagi dirinya untuk bergiat dalam penulisan, itu bukan titik noktah bagi dirinya untuk terus berkarya.

Pada tahun 1994 beliau melibatkan diri dalam sebuah persatuan iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Persatuan tersebut membantu dirinya untuk bergiat aktif kembali dalam dunia penulisan.

Menurutnya, BAHASA merupakan sebuah persatuan yang mempunyai matlamat untuk menyatukan seluruh penulis dan ahli bahasa dan sastera di Sabah dalam meluaskan lapangan bahasa, sastera dan ilmu pengetahuan bagi naikkan kedaulatan bahasa dan sastera disamping memperjuangkan kebajikan penulis.

Berkat daripada ketekunan beliau dalam menghasilkan karya, pada tahun 2012 novelnya bertajuk Vusak Putih berjaya sebagai naib johan dalam Pertandingan Menulis Novel anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Kejayaan beliau terus terserlah apabila beliau telah berjaya menjuarai satu lagi Pertandingan Menulis Cerpen yang bertajuk Bubuk anjuran daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), BAHASA dan New Sabah Times pada 2014.

Berbicara mengenai cabaran dalam penulisan pula, beliau tidak menafikan bahawa pelbagai rintangan dan cabaran dihadapinya sepanjang berkecimpung dalam dunia penulisan.

“Cabaran utama saya dalam bidang ini ialah persaingan antara penulis-penulis yang tidak diragui kehebatan mereka.

“Saya mengaku, saya masih banyak kelemahan yang saya perlu perbaiki terutamanya penggunaan tatabahasa Melayu yang saya lihat masih jauh ketinggalan,” ujarnya.

Sungguhpun mempunyai kelemahan sendiri, namun tekad Kathrina untuk mempromosikan budaya masyarakat Sabah dalam karya penulisan membakar semangatnya untuk terus menulis.

“Saya juga hairan kenapa karya saya dipilih sebagai juara padahal masih banyak lagi karya yang lebih hebat dari saya, tapi menurut pengadil mereka menyukai karya saya kerana ia memaparkan budaya masyarakat Sabah sendiri,” ulasnya lagi.

Kathrina berkata, upah bukanlah alasan semata-mata dia menerbitkan karya-karyanya. Katanya sebagai seorang penulis, peluang ini adalah satu kesempatan yang baik untuk mengetengahkan kebudayaan orang Sabah daripada dilupakan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Beliau yang berketurunan Kadazandusun dan membesar di Kepayan itu berasa simpati dengan keadaan budaya Sabah sekarang yang semakin hilang ditelan arus kemodenan.

Melihat masalah itu, beliau mengambil inisiatif untuk menulis karya-karya yang berkaitan dengan budaya tempatan orang Sabah.

Keazaman tinggi dalam menghasilkan karya penulisan, kini Kathrina telah berjaya menerbitkan sembilan buah buku hasil karyanya sendiri termasuk novel, cerpen, cerita rakyat dan puisi.

Usaha gigih dan sikap tidak berputus asa telah membawa diri Kathrina mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini.

Beliau berharap agar kejayaan itu akan berterusan disamping terus memberi sumbangan kepada masyarakat. – oleh Dewiana Tinggolongon / SayangSabah.

Komen


Berita Berkaitan