Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kastam rampas bunga api bernilai RM268,860

Yunus Tahir (kanan) menunjukkan bunga api dipercayai dari China yang dirampas. - foto Masani Sandan
Yunus Tahir (kanan) menunjukkan bunga api dipercayai dari China yang dirampas. – foto Masani Sandan

TAWAU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Sabah merampas sebanyak 1,448 kotak bunga api seberat 10,863 kilogram bernilai RM268,860 termasuk cukai, dipercayai diseludup dari China, di sebuah gudang tidak bernombor di Batu 8, Jalan Ranggu, Tawau.

Timbalan Pengarah Kastam Sabah (Penguatkuasaan), Yunus Tahir berkata, rampasan itu telah dilakukan pada 4 Februari lalu, kira-kira pukul 4 petang selepas menyerbu gudang berkenaan hasil maklumat awam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM telah menyerbu gudang yang agak tersorok terletak di sebuah ladang kelapa sawit selepas menunggu hampir sejam di kawasan tersebut.

“Kita menunggu untuk memastikan jika pemilik gudang datang membuka gudang tersebut, namun gagal dan akhirnya kunci mangga digunting bagi membuka gudang zink itu,” katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Tawau, di sini hari ini.

Katanya, barangan itu dipercayai untuk pasaran tempatan sempena perayaan Tahun Baru Cina dan JKDM sedang menyiasat dan mengenalpasti pemilik tanah dan gudang tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau menjelaskan, bunga api dan mercun katanya adalah barang larangan import yang memerlukan lesen import dan tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 1998.

“Kita ingin menasihati orang awam bahawa memiliki, menjual atau membakar bunga api atau mercun adalah salah di sisi undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah,” ujarnya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Ujarnya, ia adalah tangkapan kedua tahun ini bagi di daerah tersebut dengan tangkapan pertama telah dilakukan pada 20 Januari lalu. – oleh Masani Sandan / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan