Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kanta Lekap Kenyit Mata Boleh Zoom Tempat Jauh

kanta

LOS ANGELES – Pemakai kanta lekap tidak lama lagi mampu ‘zoom‘ seperti teropong untuk melihat benda di temat jauh dengan lebih jelas lagi, atau membesarkan imej yang dilihat – hanya dengan cara mengenyit mata sendiri.

Ini bukan khayalan atau setakat cereka dari filem fiksyen sains, sebaliknya ia dijangka menjadi kenyataan ibarat memiliki mata ‘bionic’, apabila mata pengguna itu dipasang dengan kamera khas yang lengkap lensa jarak jauh.

Akhbar Amerika Syarikat (AS) melaporkan, saintis Switzerland kini sedang menghasilkan kanta lekap mengandungi teleskop kecil untuk meningkatkan daya penglihatan pengguna khasnya yang mengalami masalah rabun jauh.

Contoh visual daripada mata bionik seperti dalam filem aksi Terminator. – Gambar hiasan

Pengguna hanya perlu mengenyitkan mata, agar teleskop kecil itu mampu ‘zoom‘ bagi membesarkan atau mengecilkan imej, dan kanta lekap baharu itu cuma setebal 1.55 milimeter serta ada teleskop amat tipis – diaktifkan dengan kenyitan mata.

Prototaip kanta canggih tersebut didedahkan Eric Tremblay dari Ecole Polytechnique Federale de Lausanne di Switzerland ketika mesyuarat tahunan anjuran Persatuan Kemajuan Sains AS di San Jose, California pada Jumaat lalu.

Kanta futuristik itu pertama kali dikeluarkan pada 2013 dan kemudian diperbaiki dengan mengandungi kaca ‘bijak’ yang mampu memberi respons kepada gerakan semula jadi kenyitan mata – bukan kelipan mata – si pengguna tersebut.

Gambar hiasan

Ini memudahkan seseorang dapat menikmati daya penglihatan yang dibesarkan atau kembali kepada normal dengan cara mudah: Hanya mengenyit mata kanan untuk mengaktifkan teleskop kecil dan mengenyit mata kiri agar teleskop tidak lagi aktif.

“Kami rasa kanta lekap ini banyak berpotensi membantu mereka yang mempunyai masalah daya penglihatan rendah dan AMD, sejenis penyakit mata disebabkan usia bertambah yang banyak menjejaskan golongan warga tua,” ujar Tremblay.

Kanta itu dapat membesarkan imej objek sebanyak 2.8 kali lebih besar, dan ini bermakna pesakit AMD mampu membaca dengan lebih mudah, dan dapat mengenal pasti wajah atau objek dengan lebih baik, hasil bantuan alat tersebut.

Penghasilan kanta lekap berkenaan dibiayai DARPA, iaitu salah sebuah bahagian utama kajian Pentagon atau Jabatan Pertahanan AS dan asalnya bertujuan untuk dijadikan bahan penglihatan bionik untuk askar tanpa memakai teropong. – Agensi

Komen


Berita Berkaitan