Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta yang tidak dikunci dan enjin tidak dimatikan, dilarikan oleh pencuri kereta

5:40pm 15/01/2016 Leolerry Lajius 1473 views Jenayah,Tempatan

IMG-20160115-WA0012

KOTA KINABALU: Dua orang kanak-kanak dilarikan bersama dengan sebuah kereta jenis Proton Wira apabila ditinggalkan oleh ibu mereka dengan tidak mengunci kenderaan tersebut ketika keluar untuk mengambil wang di ATM.

Kejadian tersebut yang berlaku lebih kurang jam 6.15 pagi tadi, disedari oleh ibu kanak-kanak tersebut selepas keluar dari bank dan kemudiannya telah bergegas ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk membuat laporan.

Menurut Ketua Polis Daerah ACP M.Chandra,  pengadu  telah meletakkan keretanya di hadapan Standard Chatered Bank, Kota Kinabalu Lama dan keluar untuk mengambil wang di ATM.

Semasa keluar, pengadu telah meninggalkan dua  orang anak perempuannya berumur 8 tahun dan 5 tahun di dalam kereta, dalam keadaan pintu tidak berkunci dan enjin masih dihidupkan.

“Pada jam lebih kurang 6.45 pagi, kereta dan anak pengadu telah dijumpai semula, ditinggalkan di parking lot belakang Klinik Malaysia, Jalan Gaya, Kota Kinabalu, di mana kedua-dua anak pengadu dalam keadaan selamat. Semakan awal, dapati kereta dalam keadaan baik,”katanya.

Berdasarkan kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, dipercayai saspek hanya menumpukan untuk mencuri kereta dan bukannya untuk melarikan kanak-kanak.

Saspek boleh didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan – Kesalahan mencuri kenderaan, yang memperuntukkan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda dan di bawah  Seksyen 363 Kanun Keseksaan – Menculik dari penjagaan yang sah, yang memperuntukkan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup dan tidak berkunci serta tidak sekali-kali meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan.

“Individu yang mendedahkan kanak-kanak  yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 – Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak yang memperuntukkan mana-mana  orang yang mengabaikan atau pun mendedahkan kanak-kanak yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak  mengalami kecederaan fizikal atau emosi adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000 atau di penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,”katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dengan saspek juga diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah.

Saspek yang dikehendaki.

Saspek yang dikehendaki.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan