Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Kami sangka gempa bumi’

SIMBO Talo melihat treler muatan kelapa sawit yang terbabas di halaman rumahnya di Kampung Hubot, Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu. – Foto Lano Lan
KEADAAN depan halaman rumah Simbo Talo yang dipenuhi buah kelapa sawit selepas treler muatan kelapa sawit terbabas di Kampung Hubot, Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu. – Foto Lano Lan

 

KUDAT: “Dentuman kuat dan rumah bergegar sebelum bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Saya ingatkan gempa susulan di Lombok, Indonesia,” kata Simbo Talo, 75, selepas treler terbabas lalu terjatuh di halaman rumahnya di Kampung Hubot, Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu, malam tadi.

Treler muatan kelapa sawit berkenaan sebelum itu bertembung dengan Proton Saga dinaiki tiga beranak sebelum terbabas kira-kira 25 meter lalu memasuki halaman rumah Simbo.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, Sagandal Soborong, 59, isterinya, Talina Gunsifat dan anak perempuan mereka, Racy, 19, rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar.

Menceritakan kejadian itu, Simbo yang juga pesara kerajaan berkata dia sedang menonton televisyen manakala isteri, Ausa Hassa, 60, menyiapkan makan malam.

“Tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum bekalan elektrik terputus. Saya terus keluar dan terkejut melihat sebuah treler terbabas betul-betul di depan halaman rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Simbo berkata, dia kemudian memeriksa dan mendapati depan halaman sehingga ke tangga rumah dipenuhi buah kelapa sawit.

“Ketika itu, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari pintu pemandu lalu saya menghampiri dan bertanya keadaan lelaki terbabit. Dia (pemandu) mengatakan hanya sakit badan,” katanya.

Menurut Simbo, akibat kejadian itu, kereta Perodua Alza dan motosikal milik anaknya rosak dan tanaman di sekitar halaman rumah turut musnah ditindih buah kelapa sawit, manakala tiang elektrik turut patah.

Sementara itu, Ausa berkata dia bersyukur kerana rumahnya tidak mengalami kerosakan teruk namun trauma dengan kejadian itu.

“Saya dan suami tidak menyedari treler yang terjatuh itu bertembung dengan sebuah kereta lain hingga mengorbankan tiga beranak kerana lokasi kejadian terletak kira-kira 25 meter dari rumah kami.

“Kami hanya menyedari kereta mangsa terbakar selepas melihat api dan mendengar letupan…saya mengenali semua mangsa dan amat bersimpati dengan keluarga mereka,” katanya. – Oleh Junaidi Ladjana/BH Online

Komen


Berita Berkaitan