Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Kami akur jika ditakdirkan jadi pembangkang’

DATUK Joniston Bangkuai. – Foto Lano Lan

 

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan beliau berpegang kepada prinsip dan keputusannya untuk berdiri teguh di belakang Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kerajaan negeri yang dipimpin Tan Sri Musa Aman.

“Kami akur jika ditakdirkan jadi pembangkang. Tetapi buat masa sekarang, Ketua Menteri (Musa) secara rasmi mengangkat sumpah (Khamis lalu) belum lagi meletakkan jawatan,” katanya kepada NSTP.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Khamis lalu selepas memperoleh majoriti mudah 31 kerusi, iaitu 29 kerusi milik BN dan dua daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, malam tadi, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar selepas mempunyai sokongan majoriti berikutan enam ADUN daripada BN menyertai WARISAN.

Mengulas lanjut, Joniston berkata, beliau kecewa dengan perjanjian serta ikrar yang dipersetujui Majlis Presiden antara PBS, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum ini.

“Kita akan lihat apa yang berlaku selepas ini, tetapi apa yang betul-betul mengecewakan adalah Majlis Presiden.

“Semua pihak bersetuju untuk bekerjasama demi masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), namun ini (apa yang berlaku selepas PRU-14) tidak dihormati,” katanya merujuk tindakan UPKO dan PBRS meninggalkan BN tanpa sebarang perbincangan kepada majlis itu.

Joniston berkata, ketiga-tiga parti itu memenangi 12 kerusi dalam PRU-14 dan meletakkan mereka dalam kedudukan baik untuk melindungi kepentingan masyarakat KDM.

“Selain itu, kita mendapat sokongan STAR (diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan) yang bersetuju untuk membentuk pakatan dengan BN Sabah untuk membentuk kerajaan.

“Jika mereka berfikir mengenai rakyat, ini adalah platform terbaik untuk melindungi kepentingan mereka,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan