Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kalut jumpa jaket keselamatan

2:38pm 12/05/2016 Pak Roshan 2043 views Isu Semasa,Mutakhir
ANGGOTA penyelamat melakukan pemeriksaan mengesan objek didakwa jaket keselamatan yang ditemui di Teluk Usukan.

ANGGOTA penyelamat melakukan pemeriksaan mengesan objek didakwa jaket keselamatan yang ditemui di Teluk Usukan.

Kota Belud: Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke Teluk Usukan, di sini, apabila pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan objek dipercayai jaket keselamatan di sekitar kawasan itu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Johnny Gassum berkata, pihaknya mengarahkan lima anggota bersama sebuah bot ke lokasi melakukan pemeriksaan.

“Kami menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat jam 10 pagi tadi (semalam) yang meminta mengesan objek seakan jaket keselamatan di Teluk Usukan.

“Bomba segera menghantar sepasukan anggota ke lokasi bagi mengesan objek berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Johnny berkata, APMM melaporkan menerima maklumat berkenaan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

“Anggota melakukan pencarian di lokasi dan tiada sebarang tanda penemuan objek dimaksudkan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 2 Mei lalu, empat individu termasuk tiga warga asing menaiki bot dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan ke Kudat.

Empat mangsa gagal ditemui adalah pasangan suami isteri berusia 30 tahun dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau Tommy Lam Wai Yin, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23.

Sementara itu di Kudat, kerja mencari dan menyelamat (SAR) terhadap empat individu termasuk tiga pelancong yang hilang di perairan Simpang Mengayau diteruskan dengan menggunakan tiga bot pukat tunda milik nelayan tempatan.

Operasi SAR yang masuk hari kesembilan ini diteruskan meskipun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), SAR sepatutnya ditamatkan pada hari ketujuh berpandukan Manual Maritim Antarabangsa.

Bagaimanapun, Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, Pusat Mencari dan Menyelamat (MRCC) di Putrajaya dan pihaknya memutuskan operasi itu diteruskan berikutan penemuan bangkai bot dan enjin sangkut dinaiki empat individu terbabit, Ahad lalu.

“Sektor pencarian operasi SAR hari ini (semalam) tertumpu di bahagian pantai barat Simpang Mengayau dan pulau berhampiran membabitkan lapan aset daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Tiga bot pukat tunda nelayan tempatan juga digerakkan di sekitar kawasan penemuan enjin bot untuk membantu mengesan, seterusnya bersedia menunda bangkai bot masih berada dalam laut,” katanya.

Ahad lalu, sekumpulan nelayan menemui bangkai bot serta dua enjin sangkut ketika memukat di perairan 2.8 batu nautika di utara Simpang Mengayau, namun hanya satu enjin dibawa naik sebelum dibawa ke jeti APMM.

Adik kepada seorang mangsa mengesahkan enjin sangkut ditemui digunakan empat mangsa yang hilang ketika ke Pulau Balambangan pada 2 Mei lalu. – myMetro Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan