Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

KALABAKAN DAERAH TERBARU SABAH: JAUJAN

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong. Gambar Fail SNT

TAWAU, 16 Ogos (Bernama) — Kalabakan yang terletak di daerah Tawau telah diluluskan menjadi sebuah daerah penuh oleh kerajaan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah  Datuk Jaujan Sambakong.

Beliau berkata pewujudan Kalabakan sebagai daerah merupakan usaha ke arah memajukan lagi kawasan itu yang sebelum ini kurang diberikan tumpuan berikutan kawasannya yang luas dalam daerah Tawau yang begitu luas.

“Kita lihat pada Kuching, Sarawak yang terlalu luas dan untuk membangunkan kawasan itu diwujudkan Kuching Utara dan Kuching Selatan tapi kita tidak bahagi dua, kita terus bagi daerah penuh kepada Kalabakan,” katanya dan menurutnya Tawau memiliki keluasan 6,000 kilometer persegi yang sebesar Negeri Sembilan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan perbandaran Tawau di Majlis Perbandaran Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang pembinaan lebuh raya Keningau-Sipitang yang dapat memendekkan masa perjalanan penduduk pantai timur ke pantai barat Sabah.

“Tawau ke Keningau dalam empat jam, jika ada lebuh raya mungkin tiga jam dan semua ini perancangan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk di kawasan sekitar,”

Jaujan juga berkata terdapat perancangan untuk  membina jalan raya yang menghubungkan Tawau dengan Kalimantan, Indonesia.

“Pembinaan jalan (menghubungkan) dua negara itu akan menjadi pintu masuk untuk penduduk dua negara memasuki Malaysia dan Indonesia yang bersempadan sekali gus dapat mengurangkan masalah jalan tikus di Tawau dan Kalabakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jaujan berkata lebih 10,000 unit rumah dibina di kawasan setinggan di Tawau dan ini menunjukkan ramai yang memerlukan rumah.

“Untuk membina rumah rakyat ini, tanah yang ada banyak tetapi terletak di luar bandar dan sebab itu kementerian merancang untuk membina rumah mampu milik di luar bandar selain di bandar,”  katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan kawasan luar bandar dengan penempatan serta mewujudkan peluang  pekerjaan menerusi pembangunan industri hiliran membabitkan kayu balak.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan