Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kaedah sains sukan perlu diguna majukan sukan negeri

Tawfiq Abu Bakar Titingan (dua kanan) berbual dengan pelajar SSMS selepas majlsi penyerahan peralatan gimnasium di Dewan SSMS.
Tawfiq Abu Bakar Titingan (dua kanan) berbual dengan pelajar SSMS (kiri) selepas majlis penyerahan peralatan gimnasium di Dewan SSMS.

KOTA KINABALU – Kementerian Belia dan Sukan Sabah memperuntukan kira-kira RM100,000 dalam bentuk sumbangan peralatan gimnasium bagi kegunaan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) pada tahun ini.

Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Menterinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan kepada Pengetua SSMS, Mohd. Darwis Cholle dalam majlis penyerahan peralatan gimnasium di Dewan SSMS, di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita dalam majlis itu, Tawfiq berkata, untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan, persatuan sukan di negeri ini perlu menerapkan kaedah sains sukan dalam kalangan atlet masing-masing.

“Pendekatan sains sukan harus diterapkan dalam kesemua aktiviti sukan terutama latihan sukan, rehabilitasi kecederaan dan sebagainya, baharulah prestasi sukan di negeri ini boleh dilonjakkan sekaligus mencapai kecemerlangan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kewujudan Institut Sukan Negara (ISN) di Sabah di tiga buah daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau yang dijangka akan dibina, sudah pasti dapat merealisasikan misi dan visi kementerian melahirkan jaguh sukan tempatan yang mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Tawfiq berkata, persatuan sukan tidak lagi boleh lagi sekadar berharap untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan, tetapi perlu melakukannya menggunakan kaedah lebih moden dan efiesien.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa persatuan sukan agar lebih proaktif untuk mencari dana agar mereka sendiri boleh menganjurkan kejohanan yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kualiti sukan secara keseluruhannya.

“Kita berharap agar syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya mereka tampil membantu memberikan sumbangan dan tajaan kepada persatuan sukan kerana sudah pasti pengurusan sukan memerlukan perbelanjaan tinggi terutama dari segi penganjuran kejohanan.

“Justeru, pihak GLC dan swasta boleh menyumbang dan jika mereka memerlukan sumbangan mereka itu dikecualikan daripada cukai dan sebagainya… mereka boleh berhubung dengan kementerian kita dan Majlis Sukan Negeri untuk kita bantu mereka,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan