Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Kadar Sewa Yang Tinggi Dorong Kenaikan Harga Makanan Di Kedai Makan Di Labuan

1:14pm 20/10/2016 Pak Roshan 275 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan
gambar hiasan

gambar hiasan

LABUAN : Kos untuk sarapan pagi, tengah hari dan makan malam semakin mahal di kedai bebas cukai di sini kerana harga makanan dan minuman melambung tinggi, menyebabkan tekanan inflasi ke atas bajet isi rumah.

Data rasmi menunjukkan bahawa harga makanan yang dimasak melonjak daripada 25 kepada 35 peratus sejak tahun lepas, didorong oleh kenaikan sewa premis dan harga pelbagai bahan mentah.

Kenaikan itu, bagaimanapun, bermakna tuan tanah, petani dan pengedar barangan makanan memperoleh lebih pulangan tetapi tidak sebaliknya bagi pengguna di pulau bebas cukai ini yang sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Makanan adalah teras keperluan asas manusia dan oleh itu, ia memainkan peranan besar dalam ekonomi, terutama bagi Labuan yang banyak bergantung kepada barangan import.

Pulau bebas cukai ini sejak bertahun-tahun bergelut dengan harga barangan dan makanan yang tidak stabil dan sangat tinggi walaupun kerajaan memberi subsidi untuk tambang feri selama tiga tahun.

Sektor minyak dan gas yang berkembang pesat selama lebih satu dekad sebelum mengalami kemerosotan bermula lewat tahun lepas menjadi faktor sektor pertanian di sini kurang mendapat perhatian dan rancangan untuk menubuhkan kilang pemprosesan makanan diabaikan.

Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Labuan menunjukkan harga udang putih meningkat kepada RM33.45 sekilogram berbanding hanya RM26.99 di Putrajaya dan RM27 di Kuala Lumpur, manakala bawang putih (China) dijual RM14.45 sekilogram berbanding RM11.00 di Putrajaya dan RM8.50 di Kuala Lumpur.

Permintaan untuk tomato (RM4.23 sekilogram), bawang putih dan bawang merah (RM6.68 sekilogram) telah meningkat kerana ia penting bagi keperluan untuk masakan setiap hari.

Tinjauan Bernama mendapati sewa bulanan premis bagi outlet makanan di sini ialah dalam linkungan RM2,000 hingga RM8,000, bergantung kepada saiz.

Projek medan selera berharga RM12 juta dengan 50 gerai di Jalan Tg Purun di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang dibina di bawah Rancangan Malaysia ke-10 hampir siap dan dijangka dapat membantu meringankan beban pengguna.

Bagaimanapun, harga ayam super tidak berubah pada RM9.85 sekilogram sejak tahun-tahun lepas manakala harga sotong turun kepada RM18 sekilogram berbanding RM26.99 di Putrajaya dan RM23 di Kuala Lumpur.

Penurunan beberapa bahan mentah, bagaimanapun, tidak menyebabkan harga makanan di kedai-kedai makan turun.

Kadar sewa premis yang tinggi dan harga makanan yang mahal memaksa kedai-kedai makan mengenakan kos tambahan kepada pelanggan untuk melindungi margin keuntungan.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK Labuan Arun Fadzillah Hamdan berkata, harga makanan di Labuan masih berpatutan berbanding bandar-bandar lain di seluruh negara.

“Keadaan di Labuan berbeza dengan bandar-bandar lain. Penduduk di sini tidak menghadapi kesesakan lalulintas dan kebanyakan kedai makan terletak berhampiran dengan kawasan kediaman dan oleh itu pengguna tidak dibebankan dengan kos perjalanan yang tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan