Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Kaamatan eratkan rakyat pelbagai kaum- Musa

pic-63

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan bukan sahaja diraikan bagi melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi yang banyak, tetapi lebih penting ia adalah perayaan yang berupaya mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan kekeluargaan rakyat pelbagai kaum, etnik dan budaya di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan keunikan sumber alam semulajadi dan setiap tahun rakyat menikmati kepesatan pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

“Walaupun kita terdiri daripada lebih 32 suku kaum dan etnik, rakyat Sabah terus hidup bersatu padu, aman dan damai dan sentiasa bekerjasama dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang untuk memajukan negeri. Inilah yang menjadikan perpaduan rakyat Sabah menjadi contoh terbaik semangat 1Malaysia.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar semangat ini terus dikekalkan dan ditingkatkan dan tidak membiarkan anasir-anasir luar menanam benih kebencian sesama kita,” katanya.

Musa berkata, tidak dinafikan bahawa terdapat cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Bagaimanapun, saya percaya rakyat Malaysia di Sabah tidak akan mudah terpengaruh dengan tindakan itu. Sebaliknya, akan terus mengukuhkan perpaduan demi pembangunan dan kemajuan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan 2014.

Musa berkata, seperti negeri lain di Malaysia, Sabah juga komited untuk terus memacu pembangunan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Sehubungan itu katanya, adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di samping meningkatkan tenaga mahir dalam kalangan rakyat tempatan.

Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri komited menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) kerana ia akan membantu menggerakkan ekonomi negeri sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.

Di samping itu katanya, fokus juga terarah kepada sektor pelancongan dan pemprosesan minyak dan gas serta kelapa sawit yang kini sedang rancak dibangunkan.

“Bagaimanapun, suka saya mengingatkan bahawa kita perlu mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam usaha membangunkan rakyat.

“Kita tidak mengabaikan pandangan daripada masyarakat tentang langkah terbaik dalam memelihara dan memulihara flora dan fauna di negeri ini,” katanya dan menggesa rakyat negeri ini agar sentiasa bersama-sama dengan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan memacu kemajuan negeri.

Beliau berkata, 2014 adalah tahun yang mencabar bagi negara Malaysia. Tragedi MH370 dan kes penculikan yang berlaku baru-baru ini merupakan cabaran yang sukar bagi negara.

Justeru, beliau mengajak semua lapisan rakyat untuk terus bersama-sama menyokong kerajaan bagi menghadapi apa sahaja rintangan dan cabaran.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah mengembleng kekuatan dan komitmen sepenuhnya untuk meningkatan keselamatan di pantai timur Sabah.

 “Sehubungan itu, kita telah mengambil langkah segera bagi mengukuhkan lagi Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) dan pada masa yang sama, kita juga giat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan kelengkapan aset dan anggota yang mencukupi bagi menjamin keselamatan pelancong dan penduduk tempatan,” katanya.

Musa, isteri dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2014 khususnya kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM).

Komen


Berita Berkaitan