Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Juhar Mahiruddin Lafaz Sumpah Sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Bagi Penggal Kedua

juhar
Foto by : RTM

KOTA KINABALU, 1 Jan  : Tun Juhar Mahiruddin hari ini melafazkan sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi penggal kedua.

Beliau melakukan demikian sebagai memenuhi Perkara 4 Perlembagaan Negeri Sabah di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Nurchaya Arshad.

“Saya akan melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah,” lafaznya pada satu istiadat lafaz sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 bagi penggal kedua di Istana Negeri di sini.

Juhar, 61, yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri sejak 1 Jan 2011, melanjutkan tempoh perlantikannya selama empat tahun lagi bermula Khamis.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Juhar, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab memimpin dan mentadbir Sabah dengan penuh keikhlasan, berdedikasi dan amanah.

“Kita juga bersyukur kerana dalam tempoh empat tahun pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun, Sabah terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang semakin pesat berkat naungan serta bimbingan Tuan Yang Terutama Tun.

“Justeru, bagi memastikan momentum agenda pembangunan dan kecemerlangan ini berkekalan, saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat untuk terus berganding bahu dan bersatu padu, mempertingkatkan semangat muafakat serta menyemarakkan semangat kerjasama di kalangan kita kerana itulah sebenarnya kunci kepada kejayaan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini,” katanya.– BERNAMA

 

Komen


Berita Berkaitan