Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Matrang Suhaili berkata, sepanjang tahun lepas, Kastam Sabah merekodkan 947 kes rokok seludup melibatkan rampasan 11.39 juta batang rokok bernilai RM1.34 juta, dengan nilai cukai sebanyak RM6.05 juta.

“Minuman keras pula mencatatkan 239 kes dengan rampasan 311,000 liter bernilai kira-kira RM1.22 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM4.70 juta,” katanya pada majlis perasmian Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari sehingga 31 Mac lepas, Kastam Sabah merekodkan 250 kes melibatkan rokok seludup dengan nilai rampasan RM1.04 juta yang membabitkan cukai sebanyak RM639,000.

“Bagi tempoh sama, Kastam Sabah juga telah memperoleh 50 kes melibatkan minuman keras dengan nilai rampasan RM81,000 serta melibatkan cukai sebanyak RM285,000,” katanya.

Matrang berkata, statistik itu menunjukkan betapa serius masalah berkenaan dan kerjasama masyarakat dengan kastam perlu ditingkatkan secara berterusan. – BERNAMA