MELAKA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka  menahan seorang wanita disyaki memiliki kad pengenalan bermutu tinggi milik orang lain di pejabat JPN di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Melaka, Mohd Nasrom Yusof berkata, ketika kejadian wanita berusia 44 tahun itu datang ke pejabat JPN di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk membuat gantian kad pengenalan bermutu tinggi kepada Mykad.

Beliau berkata, ketika proses urusan gantian dijalankan di kaunter pada jam 12 tengah hari, pegawai bertugas mendapati imej dan cap jari pada komputer tidak sama dengan wanita terbabit.

“Rekod JPN mendapati pemilik sebenar kad pengenalan itu telah membuat gantian Mykad di Tambunan, Sabah.

“Kita kemudian membawa wanita ini ke bahagian siasatan dan  penguatkuasaan untuk disoal siasat, namun dia bertindak cuba merasuah pegawai penyiasat dengan wang tunai RM100 beserta barang kemas supaya melepaskannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks KDN di sini.

Mohd Nasrom berkata, wanita terbabit kemudian mengaku sebagai warganegara Filipina dan memiliki kad pengenalan itu sejak 1995 dari ibu saudaranya di Sabah.

Beliau berkata, wanita itu tinggal di Sabah sebelum ini dan berhijrah ke Melaka pada 2001.

“Kita sudah membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh, di sini, dan dia akan direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Akta Pendaftaran Negara (Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 1978) dan Peraturan-peraturan 1990 (Pindaan 2007)),” katanya. – Bernama