Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JPN Bongkar Sindiket Kad Pengenalan Palsu Di Tawau

Kad Pengenalan Palsu - gambar fail
Kad Pengenalan Palsu – gambar fail

TAWAU : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu termasuk dua lelaki dipercayai dalang utama sindiket kad pengenalan (IC) palsu dalam satu operasi khas di sekitar daerah ini, malam tadi.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Mohamad Yusri Hashim berkata bertindak atas maklumat risikan, Operasi Khas JPN itu dijalankan di sebuah hotel terkenal dan kemudian di kawasan rumah di Kampung Tanjung Batu dalam operasi kira-kira 6 jam bermula 9 malam.

Katanya, operasi pertama di sebuah hotel itu berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan IC terbesar di Tawau dan daerah sekitar termasuk Semporna dan Lahad Datu selepas penahanan dua dalang berkenaan.

“Ketika di hotel dua lelaki tempatan berusia 50-an dan 44 tahun yang juga dalang sindiket ditangkap bersama seorang wanita warganegara Filipina, 30, dipercayai menjadi pemain utama yang bertindak sebagai individu yang mengambil gambar dan cap jari pemohon bagi pengeluaran MyKad palsu,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi yang dijalankan di sini, awal pagi ini.

Yusri berkata pihaknya turut merampas 29 IC palsu daripada simpanan seorang dalang ketika ditahan dalam sebuah bilik hotel tersebut.

“Kami juga merampas wang dolar disyaki palsu bernilai $17,100; RM200 (wang palsu); RM3,839; dua buah kenderaan jenis Naza Citra dan Proton, peralatan digunakan untuk mengambil cap jari bagi mereka yang memesan IC palsu dan sebuah Notebook mengandungi perisian digunakan untuk memproses maklumat pembeli.

“Turut dirampas kad bank, lesen memandu, lapan telefon yang mengandungi maklumat berkaitan pemalsuan IC, sebuah buku yang mengandungi 400 hingga 500 nama yang memohon MyKad palsu, serta bukti-bukti transaksi (resit-resit bank) sejak awal tahun ini bernilai puluhan ribu,” katanya.

Yusri berkata operasi kedua di Kampung Tanjung Batu turut menahan tujuh sekeluarga termasuk dua kembar tidak seiras yang dipercayai ejen kepada sindiket IC palsu di kampung itu.

“Kesemua mereka yang ditahan warga Indonesia terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terperinci di kediaman anak beranak terbabit akhirnya membongkar kegiatan mereka berikutan penemuan pelbagai dokumen meragukan termasuk kad pengenalan palsu.

Sementara itu, menurutnya operasi malam ini merupakan rentetan daripada tangkapan dalam operasi sebelum ini dilakukan di Sandakan pada bulan lalu dengan tertangkapnya tujuh individu termasuk tiga ejen sindiket MyKad palsu.

“Penjualan IC ini juga ada beberapa kategori dengan MyKad palsu paling murah bernilai RM1,500 dan paling mahal RM10,000 ke RM15,000,” katanya.

Yusri percaya selepas ini terdapat lagi tangkapan susulan hasil daripada soal siasat 10 suspek yang ditahan pada malam tadi.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki atau menggunakan kad pengenalan palsu.

Di samping itu, katanya agensi lain dinasihatkan agar melakukan pengesahan terhadap IC yang diterima sebelum sebarang permohonan pengguna diproses bagi mengelakkan mengancam keselamatan negara.

“Kegiatan ini merugikan negara selain mengancam keselamatan negara kita kerana warganegara asing yang memiliki IC palsu ini boleh mendapatkan beberapa perkhidmatan seperti perbankan dan lesen memandu,” katanya lagi.

Yusri berkata operasi khas yang berakhir 1.30 pagi itu turut dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia dengan kekuatan kira-kira 30 anggota, enam pegawai Penguat Kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Ibu Pejabat.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan