Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JPAM Akan Miliki Bangunan PKOD Sendiri Di Tawau

JPAM

TAWAU : Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Tawau akan memiliki bangunan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) sendiri bagi pengoperasian agensi berkenaan di Tawau.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPAM, Datuk Selamat Dahalan berkata pembinaan bangunan di atas tapak seluas 1.618 hektar di sini itu, dijangka mengambil masa enam bulan.

“Kos pembinaannya berjumlah RM3 juta adalah sumbangan daripada Kolonel Bersekutu (Pertahanan Awam) Datuk Kour Nam Ngum dan PKOD ini akan berfungsi sebagai Bilik Gerakan JPAM Tawau yang memberi perkhidmatan kecemasan (MERS 999) 24 jam sehari kepada penduduk sekitar.

“Bangunan setingkat ini juga akan memberi kemudahan kepada kira-kira 6,000 anggota JPAM untuk bertugas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan itu Rabu.

Beliau berkata selain dilengkapi kemudahan bilik operasi, PKOD itu juga menyediakan bilik-bilik kuliah serta pejabat kepada anggota JPAM berdaftar di daerah berkenaan.

Sementara itu, Selamat berkata JPAM kini memiliki keanggotaan yang mencukupi untuk membantu agensi lain melakukan operasi menyelamat namun masih menghadapi kekangan dari segi aset.

“Kita masih mengalami kekurangan aset antaranya ambulans dan memerlukan bangunan PKOD sendiri di beberapa kawasan namun mengalami masalah kekurangan peruntukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat dan anggota bersekutu JPAM untuk menyumbang bagi memperkasa agensi itu sekaligus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan