Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

JPA Nafi Pemotongan Elaun Penjawat Awam

7:50pm 27/01/2016 Pak Roshan 55 views Isu Semasa,Mutakhir
Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal

Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan dakwaan pemotongan elaun penjawat awam berikutan situasi ekonomi semasa yang dihadapi negara, kata ketua pengarahnya Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata setakat ini kerajaan tidak pernah membincangkan mengenai isu penarikan kembali elaun termasuk pemotongan gaji dan pemansuhan kenaikan pangkat penjawat awam.

“Penjawat awam tidak perlu bimbang kerana berita itu tidak benar. Dalam situasi ekonomi sekarang tidak mungkin kerajaan akan membebankan lagi rakyatnya,” katanya selepas Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keratan berita yang dipetik daripada laporan lama Utusan Malaysia bertarikh 7 Jan 1998 bertajuk ‘Kerajaan potong elaun 80,000 kakitangan awam dan kumpulan profesional terlibat’ yang viral di media sosial.

Sementara itu ditanya mengenai isu penggantungan sementara biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dilaporkan media (Malaysiakini) semalam, Mohamad Zabidi enggan mengulas dan menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Esok akan dibuat pengumuman. Kita tunggu dalam pengumuman perdana menteri esok. Dia akan mengumumkan sekali (dalam pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016),” katanya.

Awal bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan melakukan pengubahsuaian terhadap Bajet 2016 susulan senario ekonomi global tidak menentu dan kejatuhan harga minyak mentah yang memberi kesan kepada hasil negara.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyatakan sokongan kepada kerajaan untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Parlimen ketika ini.

Bagaimanapun Presidennya Datuk Azih Muda meminta kerajaan mengkaji semula kandungan dalam satu bab perjanjian tersebut mengenai kuasa warga asing untuk menerajui kesatuan sekerja di negara ini selepas tiga tahun perjanjian itu ditandatangani.

Sekiranya warga asing diberi kuasa untuk mentadbir kesatuan sekerja di negara ini, Azih berkata ia akan menjejaskan fungsi kesatuan tersebut akibat campur tangan pihak luar yang tidak memahami kehendak sebenar rakyat.

“Tak mungkin seorang warganegara asing boleh memahami hati dan naluri rakyat kita serta adat dan budaya kita. Kalau mereka tidak faham mula lah panggil orang lain masuk campur dan percayalah ini akan memberi kesan kepada negara.

“Kami mahu pemimpin kesatuan sekerja mestilah seorang warganegara Malaysia dan mereka yang bermastautin di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan