Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Jom Daftar’ tingkat kesedaran mengenai kepentingan prasekolah

Kanak-kanak seawal usia empat dan lima tahun perlu mendapat pendidikan awal di pusat pra sekolah yang berdaftar. - Gambar Hiasan
Kanak-kanak seawal usia empat dan lima tahun perlu mendapat pendidikan awal di pusat pra sekolah yang berdaftar. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan Program ‘Jom Daftar’ yang bertujuan memberikan pendedahan kepada para ibubapa mengenai kepentingan pendidikan awal anak masing-masing.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul berkata, program itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran ibubapa agar menghantar anak mereka seawal umur 4 tahun ke pusat pra sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

“Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai insentif termasuk bantuan yuran persekolahan serta geran permulaan bagi pengendali tadika sebagai usaha menggalakkan program pra persekolahan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program itu di Palm Square, Centre Point di sini hari ini.

Bagaimanapun, bantuan geran permulaan itu hanya diberikan kepada pusat pra sekolah yang berdaftar dengan Kementerian.

“Pengusaha pusat pra sekolah yang belum lagi mendaftar dengan Kementerian boleh mendapatkan maklumat berkaitan proses pendaftaran pada program berkenaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, ibubapa dinasihatkan agar menyemak status pendaftaran tadika di laman web Kementerian bagi memudahkan mereka memilih tadika yang sesuai.

“Ibubapa digalakkan membuat laporan kepada Kementerian sekiranya terdapat tadika yang tidak berdaftar untuk diambil tindakan,” katanya.

Laman web tersebut boleh dilayari menerusi www.smpk.moe.gov.my.

Sementara itu, beliau berkata bilangan kemasukan prasekolah mencatat rekod 84.2 peratus pada tahun 2014 dan menunjukkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun, katanya, hasil kajian yang dibuat mendapati masih terdapat ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka yang berusia empat dan lima tahun ke prasekolah yang berdaftar.

“Kementerian Pendidikan mensasarkan untuk mencapai kemasukan sebanyak 88 peratus (873,417) bagi tahun 2015,” katanya lagi.

Antara agensi dan jabatan yang turut terlibat dalam menjayakan program sehari itu ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Majlis Daerah Penampang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

 

Komen


Berita Berkaitan