Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,772

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

JKR Pastikan Jalan Raya Di Tambatuon Boleh Dilalui

10:31am 22/11/2016 Pak Roshan 156 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Sebuah jentera berat membaiki satu runtuhan yang memutuskan hubungan jalan raya di kampung Tambatuon, Kota Belud 30 kilometer dari sini.

Sebuah jentera berat membaiki satu runtuhan yang memutuskan hubungan jalan raya di kampung Tambatuon, Kota Belud 30 kilometer dari sini.

KOTA BELUD, 21 Nov (Bernama) — Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan jalan raya di Kampung Tambatuon, kira-kira 30 kilometer dari sini, yang terputus hubungan akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat semalam, dapat dilalui oleh kenderaan dengan selamat mulai hari ini.

Penolong Jurutera JKR Kota Belud, Sabian Midow berkata pihaknya sudah memulakan kerja-kerja pembersihan di salah satu kawasan tanah runtuh yang berlaku di sepanjang tiga kilometer jalan masuk ke kampung itu, sejak pagi tadi.

“Tiga jentera berat dan sebuah lori daripada kontraktor dilantik sudah memulakan kerja mengalihkan tanah runtuh di kawasan itu. Kami akan memastikan jalan raya masuk ke kampung boleh dilalui kenderaan dengan selamat pada hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Semalam, lima runtuhan tanah berlaku di sepanjang tiga kilometer jalan masuk ke kampung itu dari jalan besar Bypass Kota Belud-Ranau, sekali gus menjejaskan kira-kira 800 penduduk.

Sabian berkata pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu bagi kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuh di lima kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tambatuon, Senuil Darusin berterima kasih kepada anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, atas keprihatinan beliau, kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya disegerakan untuk kebaikan penduduk kampung.

Senuil juga berharap cuaca akan bertambah baik dan tiada lagi tanah runtuh berlaku di kampung mereka kerana keadaan tersebut menjejaskan penduduk kampung terutama yang ingin memasarkan hasil pertanian masing-masing.

“Selain itu, guru-guru yang tinggal di luar kampung kami pun tidak dapat datang untuk mengajar kerana jalan raya terputus,” katanya.

Beliau berkata empat pelajar dari kampung berkenaan yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang, terpaksa berjalan kaki hampir tiga kilometer untuk ke simpang jalan Bypass Kota Belud-Ranau.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan