Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JKM Sokong Cadangan Gelandangan Diberi Makan Di Luar KL – KP JKM

gelandangan

BANGI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyokong cadangan supaya pusat-pusat yang memberi makan kepada golongan gelandangan dipindahkan dari pusat bandar raya bermula minggu depan.

Ketua Pengarah JKM Datuk Noraini Mohd Hashim berkata, langkah tegas itu perlu dilakukan bagi menjaga imej Kuala Lumpur daripada dicemari aktiviti gelandangan dan pengemis jalanan.

Katanya JKM pernah meninjau empat kali bersama beberapa badan bukan kerajaan dan mendapati mereka yang mempunyai rumah dan pekerjaan juga menjadi gelandangan selain pengemis, orang kurang upaya, orang tua, penagih dan orang miskin.

“Boleh bagi, niat NGO itu baik tetapi ia boleh dilakukan di luar Kuala Lumpur. Sebab imej yang mereka bagi sangat buruk kepada kita.

“Betul ada gelandangan yang memiliki rumah, ada kerja tapi suka duduk di tepi jalan, di bawah jambatan. Mereka diselamatkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kemudian mereka balik duduk di situ. Jadi saya tak tahu nak panggil apa gelandangan jenis itu?” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noraini berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berhubung keputusan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemberi sedekah kerana terdapat pengemis asing di ibu negara yang mampu tinggal di hotel tiga bintang menggunakan hasil sumbangan orang ramai.

Tengku Adnan juga mahu pusat-pusat yang memberi makan kepada golongan gelandangan juga dipindahkan dari pusat bandar raya bermula minggu depan atau bakal didenda dalam usaha membersihkan ibu kota daripada pengemis dan gelandangan.

Sementara itu, Noraini berkata JKM ‘menyelamatkan’ 229 pengemis dan kutu rayau membabitkan 172 rakyat tempatan dan 57 warga asing dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini di bawah Akta Orang Papa 1977.

Tahun lalu jabatan itu ‘menyelamatkan’ 1,048 pengemis dan kutu rayau merangkumi 854 warga tempatan dan 194 warga asing.

“JKM menyerahkan pengemis warga asing kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya, manakala pengemis tempatan dihantar ke Pusat Pemulihan Pengemis ‘Desa Bina Diri’ atau jabatan-jabatan tertentu untuk proses pemulihan dan rawatan kesihatan serta mental di hospital,” katanya.

Menurutnya terdapat tiga Pusat Pemulihan Pengemis iaitu di Mersing (Johor), Jerantut (Pahang) dan Kota Kinabalu (Sabah) serta sebuah Pusat Sehenti Bina Diri di Sungai Buluh.

Komen


Berita Berkaitan