Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

JKKK, JKDB disaran tingkat pemahaman

12:16pm 11/06/2014 Pak Roshan 21 views Politik,YB Datuk Radin Malleh

radin

TENOM: Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) di negeri ini disaran memahami prosedur-prosedur pentadbiran masing-masing agar kumpulan tersebut berupaya melaksanakan tanggungjawab sebagai jentera kerajaan yang efektif di peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh berkata, bagi memantapkan perkhidmatan kepada rakyat, pihak pengurusan JKKK harus mahir mengaplikasi aspek-aspek pengurusan dan prosedur pentadbiran masing-masing sekali gus tidak menimbulkan sebarang permasalahan kepada masyarakat.

Katanya, keupayaan melakukan urusan pentadbiran yang meliputi penyeliaan, pengetahuan, minat, sikap dan peraturan dengan sempurna mampu menjana pemahaman lebih baik kepada kumpulan itu sendiri yang seterusnya memberi manfaat besar kepada negara.

“Perkara ini adalah sangat penting terutama apabila mereka berhadapan dengan masyarakat sekali gus mampu bertindak sebagai jentera kerajaan yang efektif di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi JKKK dan JKDB kepada 51 penerima di sini semalam.

Pengerusi JKKK dan JKKB yang baharu dilantik itu akan bertugas bagi tempoh dua tahun untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.

Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap turut menyeru pengurusan JKKK mengadakan mesyuarat secara berkala agar isu-isu berkaitan pembangunan dan keselamatan di kawasan mereka dapat dipantau dan ditangani dengan lebih berkesan.

Menurutnya, kepimpinan JKKK juga harus bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah dan agensi kerajaan bagi melaksana program pembangunan di kawasan masing-masing dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan tahap keselamatan awam di kawasan pentadbiran masing-masing.

Tambahnya, pengurusan JKKK juga perlu peka dan memantau projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka agar projek-projek itu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Bagi memudahkan pengurusan JKKK membuat pemantauan ke atas projek-projek pembangunan dan keselamatan di kawasan mereka, semua JKKK perlu sentiasa mengemaskini profil kawasan mereka pada setiap masa,” katanya.

Jelasnya, profil kawasan yang sentiasa dikawal selia itu diharap dapat membantu mereka mentadbir kawasan masing-masing dengan berkesan khasnya, selain boleh dijadikan senjata untuk menangani isu-isu yang cuba disensasikan oleh pihak pembangkang.

Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan di peringkat akar umbi, JKKK berperanan meningkatkan sokongan rakyat kepada kerajaan sekali gus memastikan mereka tidak terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang.

Beliau juga mencadangkan JKKK mengamalkan budaya gotong-royong dalam melaksanakan sesuatu program kerana aktiviti seumpama itu merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pengurusan JKKK dengan rakyat.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan