Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JHEAINS pantau rakyat guna umrah sertai IS

 

Ariffin Mohd. Arif  (tengah) beramah mesra bersama pelajar dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan itu. - foto Aryan De Vera
Ariffin Mohd. Arif (tengah) beramah mesra bersama pelajar dan pegawai yang terlibat dalam kejohanan itu. – foto Aryan De Vera

PAPAR –  Kerajaan diminta membuat pemantauan ketat terhadap segelintir rakyat di negara ini yang menjadikan alasan ibadah umrah sebagai peluang untuk menyertai gerakan militan negara Islam (IS).

Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ariffin Mohd Arif berkata, usaha secara berterusan itu perlu bagi memastikan golongan terlibat tidak menyalahgunakan perkhidmatan pakej umrah untuk mengabui mata pihak berkuasa.

“Kerajaan perlu membuat penapisan ketat terhadap golongan ini yang cuba menjadikan ibadah umrah sebagai peluang untuk menyertai IS yang dilihat tidak menepati nilai murni Islam. Ia juga perlu dilaksanakan secara berterusan kerana kita khuatir golongan ini akan menggunakan pelbagai muslihat semata-mata untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama (MSSMA) di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pantai Manis, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sentiasa membuat pemantauan terhadap sekolah aliran agama di negeri ini.

Menurut beliau, inisiatif yang turut dilaksanakan dengan kerjasama polis itu bertujuan untuk memastikan pengaruh IS tidak menular di kalangan guru-guru dan pelajar di sekolah-sekolah terlibat.

“Pihak kami juga membuat tapisan terhadap guru-guru agama di setiap sekolah, termasuk Maahad Tahfiz bagi memastikan mereka ini mempunyai tauliah daripada MUIS melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah.

“Penapisan ini akan meliputi kelayakan dari segi pendidikan dan keilmuan mereka kerana hakikat jihad di zaman ini telah ‘disempitkan’ kepada jihad peperangan sedangkan ia mempunyai maksud yang luas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ariffin memberitahu pihaknya menerusi JHEAINS dan MUIS ketika ini sedang merangka strategi membabitkan pelan lima tahun Pendidikan Islam di Sabah pada tahun ini, merangkumi aspek kurikulum, prasarana dan sambutan masyarakat islam di negeri ini terhadap perancangan strategik itu. – oleh Aryan De Vera / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan