Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

JHEAINS cadang program Fakulti Pengajian Islam di UMS

Abd. Halim Nayan (dua dari kiri) bertukar dokumen Zawanah Muhamad dalam majlis MoU itu.
Abd. Halim Nayan (dua dari kiri) bertukar dokumen Zawanah Muhamad dalam majlis MoU itu. Turut kelihatan Arifin Mohd. Arif (empat dari kanan).

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan bekerjasama memperkenalkan Fakulti Pengajian Islam di peringkat ijazah di universiti berkenaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Arifin Mohd. Arif berkata, pihak universiti berkenaan kini dalam peringkat proses kajian terhadap cadangan itu.

“Saya sendiri telah mencadangkan agar UMS membuka Fakulti Pengajian Islam yang lebih khusus di universiti itu semasa sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri. Saya berharap UMS akan berusaha ke arah itu. Dengan adanya program itu di UMS, para pelajar tidak perlu melanjutkan pelajaran ke tempat lain, sekaligus dapat menjimatkan kos pengajian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara JHEAINS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam majlis itu, JHEAINS diwakili Pengarahnya, Abd. Halim Nayan manakala Pengarah Darul Quran Jakim, Zawanah Muhamad mewakili Jakim.

MoU tersebut bagi menyambung pelaksanaan kerjasama bagi Program Diploma Tahfiz Al-Quran setiap lima tahun sekali di antara Darul Quran Jakim dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah.

Ia secara tidak langsung mempromosikan Maahad Tahfiz Negeri Sabah sebagai satu-satunya institusi yang menawarkan Diploma Al-Quran 30 juzuk di negeri ini.

Sementara itu, Zawanah berkata, kerjasama di antara kedua pihak telah termetrai selama 16 tahun sejak 1999 dan ia merupakan kali kedua ia ditandatangani.

Katanya, menerusi MoU itu JHEAINS perlu menyediakan kemudahan pengajian seperti pentadbiran, kemudahan prasarana dan infrasruktur yang baik manakala Jakim akan membantu sepenuhnya dalam bidang akademik.

Setakat ini pusat Darul Quran Jakim telah mengeluarkan lebih 60 graduan dari Sabah dan sebahagiannya kini berkhidmat dengan JHEAINS, sekolah-sekolah agama dan sebagainya di negeri ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan