Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,710

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jerebu: 83 Sekolah Ditutup Di Sabah Hari Ini Dan Esok

2:50pm 04/04/2016 Pak Roshan 1859 views Isu Semasa,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

TAMPARULI : Enam lagi sekolah rendah dan menengah di Sabah ditutup hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup bertambah kepada 83 sekolah berbanding 77 sekolah yang diumumkan sebelum ini.

Pemangku Pengarah Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul berkata keseluruhan 83 sekolah yang terletak di daerah Beaufort, Papar, dan Kuala Penyu itu juga akan ditutup esok.

“Jumlah itu melibatkan 53 sekolah di daerah Beaufort, Papar (16) dan Kuala Penyu (14) dengan seramai 22,782 pelajar terjejas akibat tahap jerebu tidak sihat yang melanda daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Membaca 1Malaysia 2016 peringkat negeri Sabah di sini Isnin.

Maimunah berkata jika ada sekolah lain di tiga daerah terbabit, yang turut terjejas akibat jerebu, pihak atasan sekolah boleh mengambil keputusan untuk menutup sekolah dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga daerah terbabit adalah tinggi pada jam 6 pagi tadi iaitu 223.

“Kami akan terus membuat pemantauan jerebu, dan jika, esok bacaan IPU menurun (di tiga daerah terbabit), kemungkinan sekolah dibuka semula pada keesokan harinya (6 April). Kita berharap (jerebu) tidak berpanjang kerana ia akan mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.

Maimunah berkata buat masa ini belum ada sekolah di kawasan Kota Kinabalu ditutup berikutan jerebu yang masih berada pada tahap sederhana.

Bagaimanapun, katanya, jika ada pelajar yang menghidapi penyakit asma akibat jerebu, pihak sekolah diminta menghantar pelajar itu ke hospital atau klinik berdekatan dan menghubungi ibu bapa untuk mengambil mereka di sekolah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan