Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jerebu: 83 Sekolah Di Sabah Dibuka Semula Esok

8:08pm 05/04/2016 Pak Roshan 99 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA BELUD : Kesemua 83 sekolah yang ditutup di Papar, Beaufort dan Kuala Penyu akibat jerebu akan dibuka semula esok susulan keadaan jerebu semakin reda, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul.

Beliau berkata ini berdasarkan pemantauan terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) selama dua hari lepas, tahap jerebu menunjukkan trend menurun dengan kawasan Membakut di Beaufort mencatatkan bacaan IPU 95 setakat 10 pagi hari ini.

“Jerebu di tiga daerah terjejas (Beaufort, Papar dan Kuala Penyu) telah semakin reda dengan bacaan IPU menurun di bawah 200, tahap yang memerlukan sekolah ditutup, bermakna jerebu tidak lagi menyebabkan masalah serius.

“Semua sekolah boleh dibuka semula bermula esok berikutan jarak ketampakan sudah semakin jelas. Kami telah memberikan notis makluman mengenai pembukaan sekolah ini kepada Kementerian Pendidikan. Saya menggesa ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa,” katanya.

Maimunah berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan Karnival dan Pertandingan Bahasa peringkat zon selatan Kota Belud di SK Tamu Darat di sini hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100, (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Karnival selama tiga hari itu disertai 510 murid daripada 17 sekolah rendah di zon selatan yang bertujuan memantapkan bahasa Kadazandusun, Melayu dan Inggeris menerusi acara kesenian dan persembahan.

Pertandingan bahasa Kadazandusun diadakan di SK Tamu Darat pada hari ini, pertandingan bahasa Inggeris di SK Lasau Tintapon pada Rabu dan pertandingan bahasa Melayu di SK Rangalau pada Khamis.

Maimunah berkata sekiranya jerebu yang berpunca daripada kebakaran berdekatan menjejaskan keadaan di sekolah, pihak pentadbiran sekolah boleh memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan pegawai pendidikan daerah masing-masing untuk memohon sekolah ditutup.

“Saya tidak menggalakkan aktiviti sekolah di luar bilik darjah dilakukan di padang untuk mencegah pelajar daripada mengalami strok haba, dan cuba mengadakan aktiviti di kawasan teduh. Ibu bapa juga perlu mengehadkan pergerakan anak di luar rumah dan jauhi kawasan yang terdedah kepada cuaca panas terik,” katanya.

Maimunah berkata orang ramai masih boleh menjalankan aktiviti di luar rumah apabila IPU antara 150 dan 200 yang dikategorikan tidak sihat tetapi perlu memakai topeng muka untuk perlindungan.

“Jabatan Pendidikan juga menasihatkan pihak sekolah, pelajar dan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran udara dan mungkin menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lain,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan