Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jentera Wanita Umno Kota Kinabalu siap sedia hadapi PRU-14

 

Kota Kinabalu : Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin amat berpuas hati dengan persediaan jentera Wanita UMNO Parlimen Kota Kinabalu di semua peringkat tiga buah Dun untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 seperti dibentangkan oleh Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria hari ini.

 

Armani yang juga Pengerusi Wanita BN Sabah sudah memaklumkan di 25 Parlimen khususnya jentera Jalinan Rakyat (JR), JR Plus dan rakan-rakan dalam komponen agar semua jentera  meningkatkan kesiapsiagaan.

 

‘Wanita UMNO Sabah telah bergerak lama sudah dan tinggal tunggu loceng berbunyi. Kesiapsiagaan jentera JR seluruh Sabah amat memuaskan. Kita tidak boleh menunggu saat akhir untuk digerakkan kerana ia akan menimbulkan masalah,” tambahnya.

 

Armani turut mengingat jentera Wanita UMNO dan Wanita BN di Parlimen Kota Kinabalu agar tidak terlalu yakin dengan kesiapsiagaan jentera parti sehingga lupa kepada tugas-tugas lain yang masih  perlu diselesaikan.

 

“Daripada aspek persediaan memang kita telah bersedia, namun sementara menunggu tarikh pilihan raya, ia bukan masa untuk kita tidak bergerak turun padang mendekati pengundi di peringkat akar umbi,” tegas beliau.

 

Beliau berkata demikian semasa lawatan pemantauan Gerak Kerja JR Wanita Umno Kota Kinabalu di Bilik Mesyuarat Umno Kota Kinabalu di sini hari  ini.

 

Armani yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menegaskan persediaan itu bukan sahaja di peringkat kepimpinan, malah melibatkan ahli pergerakan srikandi tersebut di semua peringkat termasuk cawangan.

 

“Persediaan itu sudah lama dilakukan, malah kami sentiasa turun padang untuk bertemu dengan rakyat menerusi program Jalinan Rakyat.

 

“Pada program itu, kami memberi penerangan serta penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa termasuk fitnah serta dakyah yang dibuat oleh pihak pembangkang,” jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria memberitahu jentera pilihan raya wanita UMNO telah bersiap sedia untuk membantu calon BN memenangi pilihan raya di Parlimen Kota Kinabalu termasuk Dun Likas, Dun Api Api dan Du Luyang.

 

“Wanita UMNO Kota Kinabalu bersama ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan JR serta JR Plus sentiasa bekerjasama dan mereka menunjukkan kepimpinan yang baik,” katanya.

 

Rosimah yakin rakyat dalam Parlimen Kota Kinabalu akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana BN telah banyak membawa pembangunan dan perubahan demi kebaikan rakyat dan negara.

 

“Justeru, Wanita UMNO bahagian Kota Kinabalu berazam untuk lebih bekerja keras bagi memastikan kemena­ngan pada pilihan raya akan datang dan sebab itu kami telah bekerja lebih awal.

 

“Wanita UMNO Kota Kinabalu menyokong penuh siapa saja jadi Calon dalam Parlimen Kota Kinabalu dan tiga buah Dun dan memastikan kawasan ini kembalikan kepada BN,” tegas beliau.

 

Terkini daftar pemilih Parlimen 172 Kota Kinabalu berjumlah 56, 703 orang, Dun N. 14 Likas 15,153 pemilih, Dun N. 15 Api Api 19,303 dan Dun N. 16 Luyang 21,852 orang. Parlimen Kota Kinabalu mempunyai 21 PDM.

 

Hadir sama Naib Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor, Naib Ketua Wanita bahagian, Nuriya Muammil, Setiausaha Eksekutif Wanita UMNO Sabah Asnah Tahlil, Penyelaras Dun Api Api, Aisyah Tawakkal dan Penyelaras Dun Luyang, Siti Ruani Junin serta PDM dan JR.

 

Rombongan Wanita Umno Sabah akan ke PDM Wanita Umno Penampang./SayangSabah

TATAP BN…..Wanita UMNO Kota Kinabalu bersama Ketua PDM bergambar kenangan dengan Armani, Rosimah dan Fatimah Shara selepas lawatan pemantauan Gerak Kerja JR Wanita Umno Kota Kinabalu di Bilik Mesyuarat Umno Kota Kinabalu di sini hari ini.

 

 

Komen


Berita Berkaitan