Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

‘Jeneral’ hadap keadilan

10:01am 09/06/2016 Pak Roshan 14 views Global
MERED (tengah) diiringi polis menaiki pesawat ke Itali.

MERED (tengah) diiringi polis menaiki pesawat ke Itali.

Palermo (Italy): Seorang lelaki Eritrea yang disyaki menjalankan rangkaian pemerdagangan manusia besar yang membawa ribuan pendatang ke Eropah diekstradisi dari Sudan ke Itali untuk menghadapi tuduhan.

Medhane Yehdego Mered, 35, atau digelar ‘Jeneral’ didengar dalam panggilan telefon yang dipintas pihak berkuasa menceritakan bagaimana ratusan orang disumbat dalam bot usang.

Majistret Itali, Maurizio Scalia memberitahu pemberita: “Sikapnya itu menunjukkan dia tidak langsung mempedulikan nyawa orang lain.”

Mered ditahan di Sudan pada 24 Mei lalu, kata pihak berkuasa Itali serta Britain, atas tuduhan pemerdagangan manusia dan bersubahat melakukan kesalahan imigresen. Dia berdepan hukuman penjara 30 tahun jika sabit kesalahan.

Sumber kehakiman membayangkan dia mungkin juga didakwa atas tuduhan bunuh berdasarkan hasil siasatan lanjut.

Ini kali pertama ketua rangkaian penyeludup manusia berjaya dijejak di Afrika – tempat kebanyakan pangkalan rangkaian seumpama itu – dan dihadapkan ke muka pengadilan di Itali sejak krisis pendatang Eropah bermula hampir tiga tahun lalu.

Mered disyaki dibantu rakyat Habsyah, Ghermay Ermias, yang masih belum berjaya dikesan.

Mereka dilaporkan meraih keuntungan tinggi dengan membawa pendatang dari Libya ke Itali melintasi Laut Mediterranean.

Itali mempunyai bidang kuasa dalam kes itu kerana ia tempat pertama kebanyakan pendatang mendarat. Ia turut mengetuai siasatan terhadap kapal yang karam di Lampedusa pada 2013 yang menyebabkan 359 maut.

Pegawai polis kanan Palermo Renato Cortese berkata, Mered mengetuai operasi penyeludup yang besar dan banyak panggilan telefon dipintas menunjukkan dia terbabit memindahkan wang antara pelbagai negara Eropah untuk tujuan itu.

Pendakwa Sicily, Calogero Ferrara tahun lalu memberitahu Reuters Mered dan Ermias membeli pendatang yang diculik daripada penjenayah lain di Afrika. Dia menganggarkan setiap pelayaran membabitkan 600 mampu membawa keuntungan antara AS$800,000 (RM3.2 juta) hingga AS$1 million (RM4 juta). – Reuters/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan