Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jenazah 2 Beranak Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad

satu liang lahad

KUCHING – Jenazah dua beranak – Ariza Ghazalee dan Muhammad Afif Tambi – disolatkan di Masjid Jamek Petrajaya sebelum disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, hari ini.

Ariza , 46, dan anak sulungnya Muhammad Afif, 19, adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dari Amsterdam hari ini.

Jenazah mereka kemudian dibawa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kuching dan tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini pada 2.22 petang.

Dari pangkalan udara itu, jenazah mereka dibawa sebuah van ke Masjid Jamek Petrajaya di mana kira-kira 1,000 orang menunggu di masjid itu ketika van berkenaan tiba pada 3.25 petang dengan diiringi pasukan polis pengiring.

Dua jenazah itu kemudian ditempatkan di hadapan ruang solat sebelum Imam Besar Masjid Jamek Petrajaya Datuk Joji Suhaili memimpin bacaan

Yaasin, disusuli dengan solat Asar.

Turut berada di masjid itu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, beberapa anggota Kabinet negeri serta anggota keluarga Ariza dan Muhammad Afif.

Joji kemudian memimpin solat jenazah dan suasana menjadi hening seketika ketika beliau membaca doa buat kedua-dua arwah dalam bahasa
Malaysia.

Adenan, yang ditemui pemberita selepas solat jenazah itu, berkata kesedihan rakyat Malaysia ke atas kehilangan nyawa dalam tragedi itu amat dirasai di seluruh negara.

“Hari ini, seluruh negara bersatu dalam kesedihan,” katanya.

Sementara itu, jenazah dua beranak itu tiba dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Semariang pada 4.53 petang dan disambut kira-kira 5,000 orang.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg adalah antara mereka yang menghadiri majlis pengebumian itu.

Suasana sayu menyelubungi persekitaran tanah perkuburan itu semasa jenazah kedua-dua beranak itu diusung oleh 16 orang anggota tentera dari 4 Kor Armor DiRaja dari van jenazah jenazah hingga ke liang lahad.

Selepas itu, jenazah Ariza dan Muhammad Afif disemadikan di dalam satu liang lahad dengan bacaan talkin disempurnakan Joji.

Kemudian, Abang Johari yang mewakili kerajaan menyampaikan bendera jalur gemilang yang menyelimuti keranda Ariza dan Muhammad Afif kepada ibu Ariza, Jamilah Noriah Abang Aji Anuar, 72.

Ariza bersama suaminya Tambi Jiee, 49, dan semua anak mereka – Muhammad Afif, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 – terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lepas itu.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine selepas ditembak jatuh pihak tidak bertanggungjawab. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan