Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jelius kecewa pemain sambil lewa

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating kecewa dengan sikap sambil lewa pemainnya hingga mengakibatkan mereka kecundang 2-3 kepada PDRM dalam aksi terakhir Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, pemain tidak beraksi pada tahap sebenar terutama di separuh masa pertama sehingga ketinggalan dua gol.

“Persembahan pasukan malam tadi berbeza ketika kita menewaskan FELCRA FC tempoh hari, mereka kelihatan agak goyah terutama separuh masa pertama, kita cuba mengejar pada babak kedua namun sudah telambat.

“Saya juga melihat mereka sedikit sambil lewa, mungkin kerana mereka sudah puas hati selepas layak ke Piala Malaysia tetapi bagi saya ia bukan sesuatu yang baik buat pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, keputusan perlawanan malam tadi mungkin berubah jika bahagian serangan lebih tajam kerana beberapa peluang baik yang dimiliki gagal diterjemahkan kepada jaringan.

“Kita memiliki beberapa peluang baik terutama babak kedua, antaranya Maxsius (Musa) yang gagal melakukan penyudah baik walaupun hanya berdepan penjaga gol lawan,” katanya.

Pada aksi malam tadi, PDRM mendahului Sabah 2-0 pada babak pertama hasil dua jaringan Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-17 dan 45.

Sabah menyamakan kedudukan di separuh masa kedua hasil jaringan Maxsius dan Hector Ramos, masing-masing pada minit ke-71 dan 87, namun PDRM menghukum kelekaan pertahanan Sabah apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-89 menerusi Shunsuke Nakatake.

Sementara itu, Jelius berkata, dia hanya memberi cuti rehat dua hari kepada pemain kerana mereka perlu segera menjalani latihan bagi menghadapi Piala Malaysia.

“Piala Malaysia bakal berlangsung tidak lama lagi, kita perlu melakukan persiapan sebaik mungkin kerana saya tidak mahu sekadar layak beraksi saja, kita perlu menjadi antara pesaing utama,” katanya.  –  Oleh Ryan Stanley/BH Online

Komen


Berita Berkaitan