Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jawatankuasa yang dianggotai oleh peguam yang mewakili Sabah, Sarawak dan Malaya perlu ditubuhkan kaji MA63

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh pengamal undang-undang yang mewakili pihak yang terlibat dalam penubuhan Persekutuan Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan Malaya perlu ditubuhkan untuk mengkaji secara terperinci berhubung isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, penubuhan jawatankuasa dari pengamal undang-undang ini adalah penting kerana mereka lebih memahami berhubung dengan perkara yang berkaitan undang-undang bagi tujuan kajian semula MA63 dan penurunan kuasa.

“Dengan adanya jawatankuasa yang dianggotai oleh para peguam, kajian atau penelitian secara menyeluruh berhubung MA63 ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci kerana perjanjian ini merupakan asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.”

“Hal ini kerana mereka lebih arif berkaitan dengan undang-undang dan ia juga sebagai langkah untuk mengelakkan tafsiran-tafsiran tanpa memahami perkara ini dengan lebih terperinci yang boleh menimbulkan kekeliruan,”katanya dalam satu forum tertutup yang dikendalikan oleh Ronnie Klassen, di salah sebuah hotel di sini, pada selasa.

Beliau turut menyatakan bahawa, rakyat harus mengelakkan daripada mengambil langkah yang melanggar undang-undang bagi menyatakan rasa ketidakpuasan terhadap pemimpin kerana ia boleh memberikan kesan negatif kepada negara.

“Tidak salah untuk rakyat menyatakan rasa tidak puas hati atau mengkritik tetapi ia haruslah melalui saluran yang betul dan bukan dilakukan dengan tidak berlandaskan pada undang-undang.”

“Bercakap soal slogan ‘Sabah For Sabahan’, tidak dinafikan slogan itu timbul kerana disebabkan oleh isu MA63 tetapi kita tidak mahu slogan itu akan mengancam keharmonian yang telah kita kecapi dan dicemari dengan sikap kenegerian sehingga boleh menimbulkan sifat saling membenci,”katanya.

Mengulas mengenai isu royalti minyak, beliau berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa Sabah mendapat 5 peratus daripada hasil minyak yang digali di negeri ini dan 95 peratus lagi menjadi milik semenanjung Malaysia adalah tuduhan palsu dan pembohongan yang nyata.

Menurut beliau, tuduhan berkenaan adalah tidak benar kerana Kerajaan Persekutuan juga turut mendapat 5 peratus daripada hasil minyak berkenaan dan bukan 95 peratus seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.

“Isu 95 peratus royalti minyak yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar kerana Kerajaan Persekutuan turut menerima 5 peratus dan 60 peratus selebihnya adalah termasuk dalam kos mencari gali minyak dan keuntungan syarikat yang mengusahakan proses cari gali berkenaan.”

“Walaubagaimanapun, terdapat sebilangan individu yang mempergunakan isu ini sehingga ramai rakyat yang salah faham dan memilih untuk keluar daripada Malaysia sebagai langkah penyelesaian,”katanya.

Ahli forum yang terlibat dalam program berkenaan adalah Presiden Parti Reformasi Sarawak Lina Soo, Senior Lecture Social Scienes UNIMAS Arnold Puyok, Presiden Parti Cinta Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing dan Datuk Maijol Mahap (PKR).-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan