Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jawatankuasa Tetap RCI mulakan mesyuarat pertama hari ini

Musa Aman (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi berbincang sesuatu selepas mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu.
Musa Aman (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi berbincang sesuatu selepas mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU  – Jawatankuasa Tetap Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah telah memulakan mesyuarat tidak rasminya hari ini bertempat di Sri Gaya, Kota Kinabalu, iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap tersebut dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

“Kami merancang untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tetap sebanyak tiga kali setahun dan hari ini kita telah memulakan mesyuarat yang pertama di kediaman rasmi Ketua Menteri, pagi tadi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara, Kimanis, Papar, di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, mereka telah membincangkan beberapa perkara untuk merealisasikan pembentukan Jawatankuasa Tetap serta terma rujukan bagi tujuan pembahagian bidang-bidang tugas.

Katanya, bagi Jawatankuasa Tetap terdapat tiga terma rujukan yang kemukakan iaitu untuk meneliti semua syor dan cadangan-cadangan yang ditentukan bagi penambahbaikan oleh Jawatankuasa Kerja.

“Kedua, bagi memperakukan syor untuk diangkat dan dipertimbangkan oleh jemaah menteri negeri dan Persekutuan bertujuan pelaksanaan manakala ketiga, untuk memantau pelaksanaan ke atas keputusan-keputusan jemaah menteri,” ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, untuk memantapkan lagi tugas jawatankuasa tersebut pihaknya telah melantik beberapa Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Sumber Manusia, Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut membawa ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pertahanan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Peguam Besar Negeri dan beberapa menteri Kabinet Sabah.

Mengenai Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Pairin Kitingan, Ahmad Zahid berkata, terma rujukan yang pertama adalah untuk meneliti dan mengkaji dapatan isu-isu Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah dengan tumpuan untuk penambahbaikan isu PATI di negeri ini.

“Kedua, meneliti maklum balas dan pandangan masyarakat Sabah melalui forum serta konsultasi berhubung warga asing di Sabah. Ketiga, mengkaji pelaksanaan pengurusan PATI. Keempat, mengemukakan syor ke atas kedudukan pendatang asing melalui peraturan dan undang-undang dan menyediakan pelan tindakan dalam mengatasi masalah isu PATI dari segi sosial, ekonomi dan lain-lain,” jelasnya. – Oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan