Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jawatankuasa RCI Sedia Terima Cadangan Semua Pihak

pairin

TAWAU – Jawatankuasa Kerja untuk meneliti kandungan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Sabah sedia menerima cadangan bagi menyelesaikan isu itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihak jawatankuasa akan menerima apa sahaja cadangan daripada pelbagai pihak sama ada individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

“Kami (jawatankuasa kerja) akan mengumpul semua cadangan itu dan sekiranya cadangan itu sesuai, ia boleh digunakan untuk membantu menangani masalah Pati di negeri ini.

“Tentu sekali banyak faedah yang kita peroleh daripada cadangan oleh pihak lain. Oleh itu saya berharap ada pihak yang dapat mengemukakan cadangan dan juga idea yang membina,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Tawau, di sini hari ini.

Beliau berkata, satu daripada tujuan jawatankuasa kerja itu ditubuhkan adalah untuk mengumpul segala maklumat serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi menyelesaikan masalah kehadiran Pati di Sabah.

“Saya berharap jawatankuasa dapat memberi sumbangan besar ke arah penyelesaian isu berkenaan … kami juga berharap agar semua masyarakat di negeri ini dapat berganding bahu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah itu,” katanya.

Pairin berkata, antara penekanan yang dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa kerja itu ialah memastikan setiap agensi penguat kuasa dapat menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka untuk menguatkuasakan undang-undang.

Mengulas mengenai majlis rumah terbuka itu, beliau berkata ia dilihat mampu mengeratkan hubungan semua masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah itu.

“Rumah terbuka ini telah menghimpunkan semua masyarakat di sini, oleh itu saya berharap mereka dapat mengambil kesempatan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan