Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jawatankuasa ditubuhkan untuk susun struktur Kementerian Undang-undang Sabah

KOTA KINABALU, 4 Julai – Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Penyusun Struktur Organisasi untuk menyusun atur struktur organisasi kementerian baharu itu, Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Menterinya Datuk Aidi Mokhtar berkata keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada kalangan bekas pegawai kanan negeri dan Persekutuan serta  ahli profesional yang berpengalaman  luas dan mahir dalam hal-hal pentadbiran hal ehwal adat, selain berkelulusan dalam bidang undang-undang dan kehakiman.

“Jawatankuasa ini sedang dalam proses membuat kajian penyusunan semula dan cadangan pemantapan pentadbiran hal ehwal anak negeri, struktur Mahkamah Anak Negeri (MAN) serta pengemaskinian undang-undang anak negeri yang memerlukan pindaan selaras dengan perkembangan undang-undang semasa.

“Antara cadangan yang akan dibuat oleh kementerian dalam masa terdekat adalah pewujudan sistem dan struktur MAN yang setaraf dengan sistem dan struktur Mahkamah Sivil dan Syariah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan).

Abidin bertanya tentang dasar baharu kerajaan berhubung pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, dan Wakil Ketua Anak Negeri.

Mengulas lanjut, Aidi berkata kementeriannya juga mencadangkan pewujudan enam undang-undang MAN yang memperincikan Undang-Undang Pentadbiran, Prosedur Sivil, Prosedur Jenayah, Undang-Undang Keterangan, Undang-Undang Kesalahan Jenayah dan Undang-Undang Keluarga.

Beliau berkata berikutan cadangan pewujudan sistem dan struktur MAN yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Syariah, kementeriannya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan sistem MAN empat peringkat iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rayuan Khas.

“Selaras proses menaik taraf MAN, kementerian juga akan memastikan kakitangan pentadbiran dan hakim yang mendengar kes di peringkat tertentu mempunyai kelayakan akademik serta kemahiran yang setimpal dengan jawatan yang mereka sandang.

“Sistem MAN juga perlu diketui oleh Ketua Hakim yang bertanggungjawab terhadap agenda transformasi dan modenisasi mahkamah berkenaan. Di peringkat Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rayuan Khas MAN pula hendaklah terdiri daripada kalangan Pegawai Undang-Undang, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri akan dibariskan sebagai panel hakim mengikut keperluan di setiap kes perbicaraan,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan