Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jaujan alu-alukan pembekuan eksport ikan segar

7:18pm 06/02/2016 Elezebeth Esther Onjining 47 views Tempatan
Jaujan (kanan) bersama Yahya (tengah) dan Ujang semasa menghadiri Taklimat Khas Kawalan Terhadap Eksport Ikan Segar di Wisma Pertanian Sabah, disini.

Jaujan (kanan) bersama Yahya (tengah) dan Ujang semasa menghadiri Taklimat Khas Kawalan Terhadap Eksport Ikan Segar di Wisma Pertanian Sabah, disini.

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan negeri membekukan eksport ikan segar keluar dari negeri ini diyakini mampu menjamin bekalan ikan segar di pasaran tempatan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (Safma), Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk pengguna, peniaga restoran dan pelancong asing.

Katanya, Sabah memang terkenal dengan kepelbagaian hasil ikan segar dan ia merupakan antara daya tarikan pengunjung dari luar.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pengumuman Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin pada Isnin mengenai langkah membekukan serta-merta eksport ikan segar ke luar dari negeri ini.

“Saya sangat bersetuju (dengan Datuk Yahya) supaya ada kawalan terhadap eksport ikan keluar daripada negeri ini, sama ada ikan hidup mahupun ikan segar beku.

“Kawalan ini dinyatakan hanya bersifat sementara mengikut keadaan tertentu…seperti bila berlaku musim monsun/tengkujuh atau musin panas El-Nino seperti sekarang. Kerana pada musim ini kurang nelayan ke laut, dan lagi pun bukan musim ikan membiak.

“Sekiranya tidak dilakukan kawalan, maka keperluan ikan untuk pasaran tempatan tidak mencukupi dan akhirnya harga ikan melambung naik,” katanya.

Isnin lalu, Yahya mengumumkan eksport ikan segar ke luar kawasan negeri ini dibekukan serta-merta.

Langkah itu dilaksanakan berikutan isu kekurangan makanan laut yang segar sama ada di pasar mahupun restoran.

Jaujan berkata yang menyedihkan pula ikan yang terdapat di pasaran tiada mutu dan kualiti disebabkan ikan terbaik seperti ikan merah, kerapu, ikan putih dan jenahak semuanya dieksport keluar.

Menurutnya, tidak dinafikan soal peniaga ikan untuk mengeksport sumber marin keluar negara kerana ia juga boleh memajukan peniaga ikan dari segi meningkatkan pendapatan mereka.

“Tetapi harus diingat bahawa keperluan tempatan mesti menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi pelancong luar datang ke Sabah seperti dari China, Eropah juga Semenanjung.. Bila berkunjung ke Sabah, antara tarikan mereka selain daripada melihat keindahan gunung, laut, hutan tropika dan pantai, mereka juga mahu menikmati makanan laut yang ada di Sabah,” katanya.

Menurut beliau, makanan laut di negeri ini sangat segar, lagipun harganya murah dan berpatutan berbanding tempat lain.

Jaujan berkata beliau menyanjung tinggi saranan Yahya atas keprihatinan dalam perkara itu, dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

“Beliau amat mengetahui keadaan sebenar keperluan rakyat dan peniaga restoran makanan laut di mana beliau sendiri sering turun ke lapangan dan pasar ikan untuk bertanyakan keadaan.

“Saya yakin kiranya hasrat ini bukan sahaja disokong bahkan harus disambut baik oleh semua pihak, terutama sekali pemain dalam industri terlibat.

“Sudah tentu kalau ia dilaksanakan dengan berkesan, rakyat akan selesa dan akan menyumbang kepada pertubuhan ekonomi Negeri Sabah melalui Pertanian Perikanan dan Pelancongan ini (PPP),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar bekalan ikan musim perayaan Tahun Baharu Cina ini tidak terjejas dan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan