Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,680

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jasad Mangsa Nahas Di Chiang Mai Tiba Di Tanah Air

11:59am 23/12/2015 Pak Roshan 149 views Mutakhir,Nasional
Anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengangkat jasad rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di Chiang Mai, Thailand awal hari ini. - Foto BERNAMA

Anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengangkat jasad rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di Chiang Mai, Thailand awal hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kesemua jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas bas pelancong di Chiang Mai, Thailand pada Ahad, tiba di tanah air awal pagi Rabu.

Selain yang terkorban, turut dibawa pulang melalui penerbangan ihsan menggunakan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand itu adalah seorang warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu serta waris mereka.

Pesawat TUDM tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 3.32 pagi manakala pesawat Tentera Udara Thailand pula pada 3.38 pagi selepas penerbangan kira-kira 3 jam dari Chiang Mai, yang terletak 700 km ke utara Bangkok, ibu negara Thailand.

Turut kelihatan menyambut kepulangan mangsa insiden tragik itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.

Bas yang membawa 22 warga Malaysia itu terlibat dalam nahas pada 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) pada hari kejadian.

Laporan berita sebelum ini menyebut bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.

Setibanya di Pangkalan Udara TUDM, setiap keranda diusung oleh lapan anggota TUDM untuk dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah.

Seorang anggota keluarga kelihatan memegang sebuah daripada keranda itu sambil kedengaran berkata kepada jasad bapanya “Jom kita balik rumah di Batu Pahat” dalam bahasa Mandarin.

Kesemua kenderaan jenazah mula meninggalkan pangkalan udara itu pada 4.23 pagi untuk ke Batu Pahat bagi urusan selanjutnya.

Sementara itu, mangsa yang cedera iaitu Lee Siew Kim, 61, terus dimasukkan ke ambulans setibanya di pangkalan udara itu untuk dibawa ke Hospital Batu Pahat.

Keadaan wanita itu dilaporkan stabil.

Lapan lagi rakyat Malaysia yang cedera masih dirawat di hospital di Chiang Mai, termasuk lima yang cedera parah. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan