Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Janji Musa bukan cerita kosong

musa aman
SELAMAT HARIJADI KE-64…. Musa (dua dari kiri) bersama isterinya Datin Seri Faridah Hussin (tiga dari kiri) sambil diapit oleh Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad, memotong kek sempena harijadi beliau yang ke-64 di majlis 20 Tahun Bersama Yayasan Sabah. – Foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Sejarah penglibatan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam Kumpulan Yayasan Sabah bermula pada tahun 1995 apabila dilantik sebagai Pengarah organisasi tersebut yang seterusnya membuka lembaran baru kepada yayasan milik kerajaan negeri itu.

Ketika menerima pelantikan itu, beliau berjanji akan mentadbir dengan sebaik-baiknya dan komited membawa organisasi itu ke puncak kejayaan dan ternyata janji beliau bukan cerita kosong.

Ia terbukti apabila sepanjang lima tahun menerajui Yayasan tersebut, organisasi itu menjadi lebih dinamik serta bergerak aktif terutamanya dalam aspek pembangunan modal insan yang memfokuskan bidang pendidikan bermula prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi.

Percaya kepada kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, beliau berusaha merealisasikan Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pendidikan di antara Yayasan Sabah, Kerajaan Negeri dengan Edith Cowan University dari Australia.

Bagaimanapun, Musa terpaksa melepaskan jawatan berkenaan apabila dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Ketua Menteri pada tahun 1999 setelah memenangi pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga.

Namun, pada tahun 2003, Musa sekali lagi menyertai organisasi Yayasan Sabah selepas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan tersebut yang kemudian mengubah Yayasan Sabah menjadi sebuah organisasi yang lebih mantap, berdaya saing dan terkenal di peringkat antarabangsa.

Ketika memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi, aspek pendidikan terus menjadi tumpuan utama beliau dengan menambah bidang pengajian di Kolej Yayasan Sabah (KYS) bagi memberi peluang kepada anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran mereka selain meneroka pelbagai pelaburan baru dalam perniagaan komersil.

“Sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, pengalaman luas beliau dalam bidang perniagaan digunakan untuk memperkasakan lagi bidang komersil Yayasan Sabah dengan bergiat aktif di luar sektor perhutanan,” kata Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis 20 Tahun Bersama Kumpulan Yayasan Sabah yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, Tanjung Aru di sini hari ini. Turut diraikan pada majlis itu ialah sambutan harijadi Musa yang ke-64 tahun.

“Bagi pihak seluruh warga Yayasan Sabah, setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri atas kepimpinan yang telah membawa kumpulan Yayasan Sabah ke peringkat tinggi,” katanya.

Secara ringkas, sepanjang 20 tahun Musa bersama Yayasan Sabah, kepimpinan beliau telah menggerakkan yayasan itu menuju ke arah transformasi bagi membolehkan organisasi rakyat itu terus memainkan peranan bagi menjana kemakmuran negeri Sabah.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan