Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jangan terpedaya dengan tipu helah pembangkang

Kota Kinabalu : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin meminta ahli UMNO jangan terpedaya dengan dakyah dan tipu helah pembangkang yang hanya tahu bersuara menentang kerajaan tetapi gagal membentuk kerajaan dan membantu kemusykilan rakyat.

 

“Sejarah pernah menyaksikan Sabah pernah ditadbir oleh Parti Tempatan atau Local Based Party, bukan sekali tetapi sejak merdeka lagi. Tetapi yang jelas dengan hanya bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, Pentadbiran Negeri menjadi lebih licin dan teratur dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

 

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah memerintah negara ini sekian lama dan pemimpin silih berganti menerajui kerajaan. Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri betapa Sabah telah melangkah jauh lebih-lebih seperti yang kita saksikan hari ini.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Kudat di Dewan Tun Datu Mustapha Kudat semalam.

 

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menambah Sabah pernah diperintah oleh parti tempatan, apa yang telah berlaku disebabkan hubungan yang tidak baik di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri pada ketika itu.

 

“Negeri Sabah gagal dimajukan…… persoalannya adakah perlu ada jarak dan perpisahan di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri?

 

“Apa manfaatnya perbezaan ini. Bukankah kita dalam Negara yang sama? Janganlah kita dibuai dengan janji-janji bahawaSabah For Sabahan dan jangan kita terbawa-bawa dengan sentimen ini yang hanya lebih menjarakkan kita dan menggalakkan perpecahan.

 

Tegas Rosnah lagi ahli UMNO tidak boleh hilang fokus. Mereka semuanya ada kekuatan masing-masing bagi membantu kemenangan besar pada pilihan raya yang ke 14 akan datang.

 

“Masa depan kita dan anak cucu bukan sesuatu yang boleh di “try-try”atau bahan ujikaji. Tempoh 5 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap. 5 tahun mampu meranapkan seluruh negeri mahupun negara. Janganlah perjudikan nasib dan masa depan kita hanya disebabkan oleh sesuatu yang belum pasti. Jadilah rakyat yang matang, fikirkanlah demi untuk survival kita semua.

 

Jelasnya UMNO mempunyai peranan yang besar pada PRU ke 14. Pergerakan Wanita Bahagian Kudat ada peranan besar di sini, iaitu memastikan Parlimen Kudat P167 beserta Dun Pitas, DUN Banggi dan Tanjong Kapor terus dipertahankan. Jangan berpegang kepada sesuatu yang kita sendiri tidak pasti, bertautlah kepada sesuatu yang lebih nyata yang sudah terbukti kepimpinannya.

 

Mengenai calon Wanita BN, Rosnah yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, menyokong penuh cadangan 20 nama pemimpin-pemimpin wanita untuk dinilai dan diletakkan mewakili parti sebagai calon pada PRU 14.

 

Beliau berkata  sesiapa sahaja yang telah diputuskan untuk diletakkan sebagai calon pilihanraya sekiranya ada kemampuan dan memenuhi ciri-ciri “Winable and Likeable Candidate”.

 

“Apa yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti kita perlu menyokong calon tersebut dan pastikan calon itu menang. Saya yakin dan percaya, Sabah tidak ketandusan Pemimpin Wanita yang berkualiti,” tambah beliau.

 

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kudat, Datuk Aminah Ambrose berkata Wanita UMNO Kudat sebulat suara bersetuju supaya calon Wanita UMNO dan BN muka lama di kekalkan dan muka baru ditambah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

 

Katanya ini jelas membuktikan bahawa Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang parti turut diberi peluang dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri dan Pusat wajar memberi pertimbangan serius.

 

Cadangan ini berdasarkan perkembangan semasa, supaya kepimpinan melaksanakan segera 30 peratus calon UMNO terdiri daripada kalangan wanita. Hal ini bertujuan mengimbangi jasa dan perjuangan golonan wanita yang begitu banyak menyumbang bagi kemajuan dan pembangunan negara ujar beliau.

 

Seramai 1,440 perwakilan dari 324 cawangan hadir mesyuarat perwakilan tersebut.

 

Turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik yang juga Ketua Puteri UMNO Kudat, wakil Wanita UMNO Sabah, Datuk Surinam Sadikun yang juga Ketua Wanita UMNO Sipitang dan ahli-ahli jawatankuasa Wanita UMNO Kudat dan perwakilan./SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan