Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan Salahkan Esscom Bila Berlaku Jenayah Di Esszone – MPSS

5:47pm 09/04/2016 Pak Roshan 2273 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

esszone2-600x367-600x367-600x367

KOTA KINABALU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya jika berlaku insiden jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata tindakan menghukum Esscom adalah tidak wajar kerana ia telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sejak ditubuhkan.

Menurutnya, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh Esscom, termasuk mengagalkan cubaan menculik di Esszone.

“Adalah suatu yang tidak adil untuk kita meminta Esscom dibubarkan semata-mata kerana berlakunya insiden penculikan di kawasan Esszone.

“Selama ini, Esscom telah berjaya mengekang banyak cubaan penjenayah yang cuba menceroboh wilayah kita, sekali gus mengekang kemungkinan berlakunya penculikan lain,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha DAP Sabah Junz Wong yang mencadangkan agar Esscom dibubarkan ekoran berlakunya kejadian penculikan di perairan Ligitan, Semporna baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berharap pihak yang selalu ‘menghentam’ Esscom turun padang dengan menyertai penugasan harian untuk lebih memahami situasi sebenar berbanding hanya bermain dengan imaginasi atau mengkritik semata-mata.

“Mengapa kita tidak pernah memberi pengiktirafan serta pujian kepada pasukan keselamatan selepas memperoleh sesuatu kejayaan, sebaliknya ada pihak yang lebih suka menghentam dan mencari kesalahan.

“Namun kita yakin pihak keselamatan, khususnya Esscom telah berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa memastikan keselamatan di perairan Sabah dan adalah mustahil untuk pasukan keselamatan berada di sepanjang garis sempadan negara setiap masa.

“Mereka juga berhadapan dengan kekangan tertentu seperti kesesuaian logistik serta faktor cuaca,” katanya.

Kawasan Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Esscom ditubuhkan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Feb 2013.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan