Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,695

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan pandang remeh sambutan kemerdekaan

2:42pm 17/09/2016 Leolerry Lajius 31 views Kota Kinabalu,Tempatan

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Diego meminta generasi muda hari ini supaya tidak memandang remeh sambutan bulan kemerdekaan.
Menurut beliau, cara golongan muda hari ini menyambut Hari Kemerdekaan agak membimbangkan kerana dikhuatiri mereka gagal memahami mesej di sebalik sambutan berkenaan yang dianggap sebagai acara untuk berhibur dan bersuka ria.

“Seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda daripada pelbagai etnik perlu memahami dan menghayati sepenuhnya semangat cintakan negara.

“Kita perlukan warganegara yang sentiasa meletakkan kecintaannya kepada  negara  supaya kita dapat terus menikmati keamanan yang diwarisi daripada generasi yang terdahulu.

“Kita perlu berasa bertuah dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini yang diperoleh hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu kita. Kita tidak boleh leka dengan kesenangan hari ini sebaiknya perlu berusaha keras menjaga dan memastikan nikmat itu berterusan dan tidak sesekali diganggu-gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Cintakan Negara di Dewan Tun Hamdan Menara Tun Mustapha, Bangunan Yayasan Sabah hari ini.

Seminar Cinta Negara berkenaan anjuran bersama Unit PPM Negeri Sabah, Biro Tata Negara, Biro Latihan UMNO Kota Kinabalu, Pergerakan Puteri UMNO Kota Kinabalu, Biro Penerangan Umno Kota Kinabalu dan Sabah. Kira-kira 150 peserta seminar tersebut.

Turut hadir sama Ketua Pengarah Biro Tata Negara Malaysia, Datuk Ibrahim Saad, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sabah, Datuk Japlin Akim, Penolong Pengarah UPPM Sabah,  Musliati Muslimin yang juga Pengerusi Pelaksana Seminar Cinta Negara, Naib Ketua Umno Kota Kinabalu, Datuk Fatima Shara Ahmad Noor, Ketua Puteri Umno Kota Kinabalu, Salmi Sarinoh,  wakil Jasa Sabah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan Pemimpin-pemimpi Pembangunan Masyarakat Parlimen Kota Kinabalu.

Menurut Faisyal lagi, sambutan Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September tidak sewajarnya dianggap sekadar cuti umum untuk berehat tetapi merupakan hari penting untuk diingati dan dihayati oleh semua pihak.

Jelas beliau, lebih mengecewakan apabila ada kalangan orang muda yang mentafsir erti patriotik dan semangat cintakan negara dengan mereka cipta gambar, mesej dan lagu-lagu menerusi media sosial yang membawa maksud tidak baik malah sampai ke tahap menghina negara.

“Malah pernah ada pihak yang mahu menukar bendera kebangsaan dan ini adalah  satu tindakan biadab serta tidak menghormati Perlembagaan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, adalah berbahaya jika generasi baharu hari ini masih kurang kesedaran tentang betapa pentingnya nilai kebebasan, keamanan dan kedaulatan yang dinikmati sekarang.

“Kuasa yang diperoleh untuk mentadbir dan mencorak sendiri masa depan negara tanpa dikuasai penjajah tidak difahami  mungkin kerana mereka lahir dan hidup selepas merdeka, tidak melalui susah payah yang dialami generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan ibu bapa agar tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan laporan dalam media sosial kerana tidak semua kandungan yang disebarkan itu adalah benar.

“Kita semua harus berfikiran rasional serta mencari maklumat yang benar dan tepat mengenai sesuatu isu. Bukan semua laporan dalam media sosial itu benar…ada yang palsu, ada yang fitnah dan ada yang separuh benar.

“Dalam dunia tanpa sempadan inilah isu penyebaran maklumat dalam media sosial yang paling mencabar. Jika dahulu kita bergantung kepada surat khabar hari ini generasi baru tidak lagi membaca surat khabar, tetapi lebih percayakan berita di media sosial yang tidak disahkan fakta dan sumbernya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar berhati-hati apabila menerima berita daripada media sosial dan tidak dengan mudah menyebarkan kepada pihak lain kerana boleh membawa pelbagai implikasi buruk khususnya membabitkan keselamatan negara dan perpaduan rakyat./SayangSabah

Kenangan....Faisyal, Ibrahim, Japlin, Musliati dan Salmi bersama perserta bergambar kenangan semasa Seminar Cintakan Negara di Dewan Tun Hamdan Menara Tun Mustapha, Bangunan Yayasan Sabah hari ini.

Kenangan….Faisyal, Ibrahim, Japlin, Musliati dan Salmi bersama perserta bergambar kenangan semasa Seminar Cintakan Negara di Dewan Tun Hamdan Menara Tun Mustapha, Bangunan Yayasan Sabah hari ini.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan