Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Jangan naik harga ikan khususnya kawasan perintah berkurung, kata Jainab

ikan jainab

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad mengingatkan nelayan dan penjual ikan di kawasan yang terlibat dengan perintah berkurung supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai atau pengguna di kawasan pantai timur mengenai kenaikan harga ikan.

“Tetapi mereka tidak seharusnya menjadikan penguatkuasaan perintah berkurung itu sebagai alasan untuk menaikkan harga makanan laut.

“Ini kerana, nelayan di kawasan berkenaan masih boleh menangkap ikan pada waktu siang,” katanya ketika ditemui New Sabah Times semasa kunjungan beliau ke Pejabat New Sabah Times, di Sembulan, di sini, kelma

Beliau diminta mengulas mengenai penguatkuasaan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Jainab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai yakin penguatkuasaan perintah berkurung antara penyelesaian terbaik untuk menangani masalah penculikan di kawasan pantai timur negeri ini, kerana ia mengehadkan pergerakan penjenayah rentas sempadan.

“Saya menyambut baik langkah kerajaan itu dan berharap semua penduduk di kawasan perairan pantai timur mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa. Perintah berkurung itu antaranya bertujuan menjaga keselamatan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar perintah berkurung itu diteruskan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi terutama laluan yang sering digunakan oleh penculik.

Sabtu lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tanjung Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa petang 19 Julai hingga 2 Ogos ini.

Jalaluddin berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.

Mana-mana pihak yang melanggar peraturan perintah berkurung boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Jalaluddin berkata apabila terdapat suspek yang disyaki telah melakukan penculikan ataupun pembunuhan yang hukumannya adalah gantung sampai mati atau penjara seumur berada di kawasan perintah berkurung, maka anggota keselamatan boleh melepaskan tembakan ke sasaran berkenaan.

Turut mengiringi Jainab, Timbalan Pengarah Giat Mara Negeri Sabah Mohd Noh Nawawi dan Pengurus Giat Mara Sepanggar Sophia Sahijuan.

Jainab dan Giat Mara Negeri Sabah menyampaikan sumbangan kuih raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 untuk kakitangan New Sabah Times.

Komen


Berita Berkaitan