Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,636

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan Ketepikan Rawatan Moden Kanser Payudara

2:42pm 16/10/2016 Pak Roshan 17 views Mutakhir,Nasional

hospital

TAWAU – Golongan wanita disaran tidak mengetepikan kaedah rawatan moden di hospital walaupun mahu mendapatkan rawatan alternatif bagi merawat kanser payudara.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata tindakan mengetepikan rawatan hospital hanya akan menyebabkan kanser merebak serta sukar dirawat, dan ditambah apabila kaedah alternatif yang dipilih itu tidak efektif.

“Golongan wanita perlu menjaga kesihatan dan kerap melakukan pemeriksaan payudara secara sendiri dan boleh mendapatkan rawatan susulan di hospital,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Payudara di Padang Bandaran Tawau di sini hari ini.

Katanya, kanser payudara tidak boleh dipandang remeh kerana penyakit itu merupakan pembunuh utama wanita dengan risiko lima kali ganda kepada wanita yang mempunyai sejarah iaitu ibu atau adik-beradik perempuan sebagai penghidap kanser payudara.

“Mereka yang paling tinggi berisiko menghidap penyakit ini adalah kumpulan umur 40 hingga 49 tahun dan 50 hingga 59 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Hamisa berkata sikap tidak ambil tahu dan pengetahuan yang cetek mengenai kanser menjadi punca kepada peningkatan kadar kematian dalam kalangan wanita di negara ini.

“Mengikut laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, ramai pesakit datang lambat ke hospital bagi mendapatkan rawatan iaitu 42 peratus pesakit telah berada pada tahap tiga dan empat,” katanya.

Menurutnya, turut dilaporkan 32 peratus daripada semua jenis kanser telah dikesan dalam kalangan wanita negara ini yang berusia 45 tahun dan ke atas.

“Saya berharap setiap anggota masyarakat dan agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu Kementerian Kesihatan dengan menganjurkan kempen kesedaran mencegah kanser payudara,” katanya.

Terdahulu, program anjuran Kinabalu Pink Ribbon itu disertai 2,000 peserta yang berlari sejauh tiga kilometer dan turut disertai oleh Hamisa dan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan