Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,694

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan keliru mengenai isu Hudud-Salleh

6:30pm 28/05/2016 Leolerry Lajius 69 views Tempatan
Salleh (kanan) ketika melancarkan gimik perasmian sempena pelancaran frekuensi 107.9 Radio Bernama.-Gambar Oleh Alex Mairin

Salleh (kanan) ketika melancarkan gimik perasmian sempena pelancaran frekuensi 107.9 Radio Bernama.-Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: Rakyat diseru agar tidak keliru mengenai isu yang mengatakan sudah terdapat Akta Undang-Undang hukuman Hudud dibentangkan di Parlimen.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, para pengamal media dan masyarakat harus memastikan kesahisan sesuatu maklumat sebelum disebarkan kerana perkara sebenar yang berlaku berhubung isu ini  adalah sekadar untuk memperkasakan undang-undang syariah yang sedia ada.

“Usul yang dikemukakan adalah bukan usul kerajaan sebaliknya usul persendirian. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan, kita membenarkan usul persendirian dikemukakan.

“Bagaimanapun, terpulanglah kepada kesesuaiannya untuk diberikan peluang untuk membentangkan usul persendirian itu ataupun tidak,” katanya ketika merasmikan pelancaran frekuensi 107.9 Radio Bernama di sini, hari ini.

Beliau turut mengulas berkenaan tuntutan presiden baharu Filipina mengenai negeri Sabah yang menjadi isu panas yang mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat terutamanya melalui media sosial.

Katanya, tuntutan itu sudah tidak releven memandangkan rakyat Sabah sejak kemerdekaan telah memilih untuk bersama dengan Malaysia.

Menurutnya, perkara itu sudah menjadi kebiasaan dalam politik di negara berkenaan kerana apabila terdapat seorang presiden baharu, presiden itu pasti akan membangkitkan perkara sama untuk mendapat sokongan rakyatnya.

“Dalam konteks ini, pengamal media khususnya Bernama memainkan peranan penting dalam menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat kita.

“Kita bukan sahaja memerlukan berita yang pantas dan tepat tetapi juga dikehendaki menggunakan bahasa yang mudah difahami agar tidak mengelirukan rakyat,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai cabaran industri penyiaran, beliau berkata, kewujudan media baru tidak mematahkan semangat stesen konvensional untuk terus bergerak aktif dengan matlamat masing-masing sama ada yang berorientasikan hiburan atau maklumat dan berita seperti Bernama Radio.

“Dalam zaman ledakan maklumat ini, masyarakat mempunyai banyak pilihan sebagai tempat mereka mendapatkan berita.”

“Bagi media, kecepatan memang menjadi keutamaan tetapi ketepatan maklumat tidak boleh dikesampingkan. Oleh itu, penyiar harus pandai menyeimbangkan keinginan untuk menyebarkan berita dengan cepat dan pada masa yang sama memastikan berita itu tepat,”katanya.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan